LAUNGAN azan kedengaran di seluruh Qatar menandakan masuknya waktu solat Zuhur.
Seiring itu, kelihatan pemain bola sepak Muslim, penyokong dan pegawai hadir menunaikan solat Jumaat pertama bagi Piala Dunia di sebuah negara berteraskan Islam.
Suasana tersebut amat berbeza berbanding semua edisi Piala Dunia sebelum ini.
Di Masjid Ibrahim al-Khalil di Teluk Barat Doha yang mempunyai menara tinggi dan pintu ukiran, orang lelaki Islam berkumpul menunaikan kewajiban untuk solat Jumaat.
Antara penyokong yang hadir adalah dari Tunisia, Oman dan India; pegawai FIFA lengkap beruniform; kanak-kanak berjersi Perancis dan ratusan lelaki dan wanita dari blok dan hotel berdekatan.
Mungkin ia sesuatu yang asing bagi ‘pesta’ bola sepak sebelum ini namun bagi peminat Muslim, Piala Dunia Qatar menyediakan sesuatu yang istimewa buat mereka – dengan adanya bilik solat di stadium, gerai makanan halal dan tiada penyokong yang meminum arak kerana larangan alkohol di stadium.
“Saya hadir ke sebuah negara Islam untuk menghadiri solat Jumaat… sesuatu yang menggembirakan saya dalam kejohanan ini,” kata seorang penyokong dari Mesir, Yousef al Idbari.
Sebelum ini, agama Islam ditampilkan di sepanjang minggu pertama kejohanan dengan bacaan al-Quran pada upacara pembukaan dan terjemahan bahasa Inggeris bagi ucapan dan ajaran nabi Muhammad SAW yang disiarkan di seluruh Doha.
Seorang peminat tegar bola sepak dari Afrika Selatan, Ridwaan Goolam Hoosen, kebiasaannya dia perlu mencari tempat di luar stadium untuk menunaikan solat termasuk di Piala Dunia 2010 di negaranya sendiri.
“Kamu perlu keluar dan terlepas menyaksikan jaringan atau tidak dapat menyaksikan seseorang pemain diarah keluar padang,” katanya. “Rasanya Piala Dunia ini seolah-olah untuk saya, ia bersesuaian dengan saya… ini adalah kali pertama seumpamanya,” kata Goolam. – Reuters