PEKAN – Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, hari ini.
Pelantikan Wan Rosdy, 64, disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Pelantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang itu dipersetujui BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung membentuk kerajaan negeri.
Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi daripada 41 kerusi DUN Pahang dan PH memperoleh lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh 17 kerusi.
Dilahirkan pada 1 Oktober 1958, sebelum menjadi seorang ahli politik sepenuh masa dan bertanding di DUN Jelai, Wan Rosdy adalah Pegawai Kanan agensi milik kerajaan negeri yang berurusan dengan pengeluaran dan pemasaran makanan ruji rakyat Malaysia, PadiBeras Nasional (BERNAS).
Beliau yang menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dengan Kepujian (Kelas 2 Atas) Pengkhususan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan Diploma Pengajian Perdagangan, Institut Teknologi Mara mula dipilih menjadi ADUN Jelai pada 2004.
Wan Rosdy kemudian dilantik sebagai EXCO Pahang selama dua penggal iaitu pada 2008-2013 dan 2013-2018.
Pada 15 Mei 2018, Wan Rosdy dilantik sebagai Menteri Besar Pahang selepas BN memenangi PRU14 dengan menguasai 25 kerusi.