fbpx

10,000 mangsa penipuan pelaburan, kerugian cecah RM3 bilion

KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 individu menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM3 bilion.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) mendedahkan mangsa terpedaya akibat terdesak dan hilang punca pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MHO memaklumkan mangsa diperdaya oleh ejen pelaburan dan ditawarkan dividen yang tinggi setiap bulan mencecah 17 peratus sebulan.

Kebanyakan mangsa tertarik dengan tawaran pulangan yang tinggi dan ketika itu kebanyakan berada pada tahap susah dan tidak bekerja ketika PKP dengan jumlah pelaburan serendah RM50,000 hingga RM4 juta seorang.

Difahamkan pelabur diberikan satu akaun yang mana perlu menjalankan transaksi pelaburan di platform itu dan diberikan modal dalam bentuk mata wang kripto ‘usdt’ mengikut jumlah pelaburan dan semua transaksi pelaburan dijalankan menggunakan mata wang kripto ‘usdt’ itu.

Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya difahamkan kes ini pernah disiasat polis namun sindiket ini tidak berhenti dan masih berleluasa memperdayakan orang ramai untuk menyertai pakej pelaburan yang ditawarkan.

“Pada hari ini, 180 mangsa tampil membuat laporan dan kita anggarkan ribuan mangsa ditipu terutama ketika PKP sejak 2020 oleh sindiket ini yang mengambil kesempatan memperdaya mangsa untuk menyertai pelaburan secara dalam talian yang kononnya dilindungi insurans.

“Ramai mangsa juga adalah warga emas dan majoriti berbangsa Cina. Ada yang keluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), duit simpanan dan ada yang meminjam wang dengan ah long semata-mata untuk menyertai pelaburan palsu yang dikenali sebagai Zuttelo ini,” katanya ketika bersama 180 mangsa penipuan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Hishamuddin berkata walaupun sindiket ini pernah disiasat namun belum ada tangkapan dilakukan dan semakin berleluasa malah menyediakan ‘program pelaburan’ baharu menggunakan nama Solaris di platform media sosial dengan kandungan bahasa Malaysia menyasarkan pelabur kaum lain.

“Sekiranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertindak secara serius, sindiket ini akan menjadi lebih ekstrem sehingga menjadi kartel penipuan mensasarkan lebih ramai rakyat Malaysia sebagai mangsa, sebagai contoh sindiket penipuan oleh Teddy Teoh,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan, berkata orang ramai wajar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pelaburan dan tidak mudah terpedaya tawaran pulangan yang tinggi.

“Apa yang perlu dilakukan kini adalah langkah pencegahan yang serius. Mencegah orang ramai daripada terpedaya dengan tawaran-tawaran pelaburan palsu dan mencegah sindiket-sindiket penipuan daripada terus melakukan kegiatan sebegini,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles