fbpx

Cederakan isteri, dua anak sebab tidak beli rokok, pengganggur dipenjara 9 tahun

MELAKA – Seorang penganggur dipenjara sembilan tahun atas empat pertuduhan mencederakan isteri dan dua anak selepas berang tidak dibelikan rokok.

Tertuduh Rony Abraham, 37, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan, dalam dua prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berumur 38 tahun dengan mencucuh puntung rokok pada lengan kanan dan tepi mata kiri mangsa di rumah mereka di Bukit Tempayan, Tanjung Kling, antara jam 7 hingga 11 pagi 17 Oktober lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Oktober lalu, selepas mempertimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia kurang sedar ketika kejadian akibat penyakit sawan dihidapinya, selain masih berkahwin dan anak-anaknya masih kecil.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas kesalahan dilakukannya.

Beliau berkata, laporan psikiatri menunjukkan tertuduh faham akan sifat dan akibat perbuatannya, selain mempunyai sejarah penggunaan barang terlarang.

“Mangsa pula dimasukkan ke hospital selama empat hari. Justeru, mohon hukuman setimpal mulai tarikh tertuduh ditangkap,” katanya.

Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, tertuduh turut mengaku bersalah atas tiga lagi pertuduhan mencederakan isteri dengan cara memukul pipi kiri dan seluruh badan mangsa menggunakan tangan, serta dua anak berusia 12 tahun (menendang belakang badan) dan 13 tahun (tumbuk mulut sehingga berdarah) di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh, bermula dari tarikh sabitan, hari ini.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles