fbpx

Amaran hujan berterusan di Pantai Timur, 2,098 mangsa di PPS lima negeri

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran, hujan berterusan tahap buruk yang dijangka melanda beberapa daerah sekitar Kelantan dan Terengganu hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini, memaklumkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, akan mengalami cuaca buruk sepanjang tempoh itu.

Selain itu, cuaca buruk juga akan dialami di seluruh Terengganu sepanjang tempoh sama.

Hujan lebat berterusan tahap amaran pula akan dialami oleh daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.

Pahang, Terengganu, Perak, Kelantan dan Johor mula dilanda banjir.

Dalam pada itu, seramai 2,098 mangsa banjir daripada 615 keluarga ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat jam 5 petang tadi.

Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan negeri terbabit adalah Pahang, Terengganu, Perak, Kelantan dan Johor.

Menurut Portal Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Pahang seramai 581 mangsa daripada 174 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong, SK Seri Buntar, Balai Raya Kampung Sempadan dan SK Batu Balai.

Selain itu, di PPS Masjid Beletik, Balai Raya Kampung Ria, Masjid Jamek Kuala Semantan, SK Lubuk Kulit, SK Ulu Atok dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan.

Di Terengganu, seramai 572 mangsa banjir daripada 144 keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Abdul Rahman Limbong, SK Kampung Baru Kerteh, SK Kemasik, SK Tok Jembal, SK Bukit Nanas, SK Atas Tol, Balai Raya Kampung Bukit Nenas dan Surau Mak Bakas.

Di Kelantan, seramai 825 mangsa daripada 269 keluarga ditempatkan di PPS Putat Tujoh, SK Kubang Gual, SK Gual Periok dan SK Tok Deh.

Di Perak, seramai 56 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) manakala di Johor pula, seramai 27 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles