PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bakal melaksanakan inisiatif tuala wanita percuma kepada wanita daripada golongan kurang berkemampuan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata sebagai permulaan, inisiatif itu akan dilaksanakan di pejabatnya sendiri.
“Saya sebagai Menteri Kesihatan wanita pertama elok kita lakukan di KKM sendiri.
“Saya mulakan tandas di Pejabat Menteri (dengan memulakan) pemberian tuala wanita,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan pertamanya, di sini, hari ini.
Dr Zaliha berkata, sudah tiba masanya isu kemiskinan haid dalam komuniti ditangani dengan dasar yang lebih tegas berikutan selama ini ia hanya dibuat melalui gerakan dan program di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, selepas itu, pihaknya melihat kemungkinan untuk bekerjasama dengan agensi lain yang menangani secara khusus kemiskinan haid.
Ditanya sama ada KKM juga akan melaksanakan pendidikan berkenaan haid, Dr Zaliha berkata, usaha sedemikian perlu melihat kerjasama antara agensi.
Beliau juga akan meneliti cadangan bagi meneruskan pemberian tuala wanita percuma seperti yang telah dilaksanakan dalam Belanjawan 2022.
Sebelum ini, kerajaan telah memberikan bantuan bulanan kit asas kebersihan diri secara percuma kepada 130,000 remaja wanita B40 seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2022, sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap isu kemiskinan haid di Malaysia yang berada pada tahap membimbangkan.
Kajian Kemiskinan dan Stigma Haid oleh Kotex, yang dijalankan sebelum ini mendapati seorang daripada dua pelajar perempuan didapati ingin ponteng sekolah ketika haid.
Media melaporkan, Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Martina Jezdikova sebagai berkata, kajian yang membabitkan 746 responden perempuan berusia antara 10 hingga 24 tahun di seluruh negara itu turut mendapati lima peratus gadis juga tidak mampu membeli tuala wanita.
Selain itu, Pegawai Perubatan Perubatan Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Wan Hilya Munira Mustapha, dilaporkan berkata, penggunaan bahan yang tidak bersih untuk menguruskan haid juga boleh menyebabkan risiko kesihatan lain manakala kekangan dalam bentuk fasiliti turut memberi kesan kepada tahap kebersihan wanita atau kanak-kanak perempuan dalam pengurusan haid mereka.