fbpx

Dua penjenayah maut ditembak, ada 64 rekod lampau

GURUN – Dua lelaki disyaki penjenayah maut dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Jeniang-Kalai, dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, dua suspek dipercayai warga tempatan berusia 48 dan 61 tahun maut di tempat kejadian.

Seorang daripadanya mempunyai 64 rekod jenayah lampau, termasuk 16 rekod dikehendaki berkaitan kes samun berkumpulan dan bersenjata.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata hasil semakan rekod mendapati suspek pertama berusia 60-an itu didapati baru keluar dari tahanan, Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) lebih setahun lalu manakala suspek kedua pula berusia 40-an.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Kontinjen Kedah yang membuat rondaan kes samun di sekitar kawasan Sungai Petani dan Jeniang, Sik terserempak dengan sebuah Proton Iswara kelabu gelap yang mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Pemandu kereta terbabit enggan berhenti ketika diarahkan polis menyebabkan pasukan polis terbabit bertindak memintas kenderaan berkenaan untuk diberhentikan.

“Ketika pemeriksaan hendak dilakukan, terdengar bunyi tembakan dan percikan api dari arah pemandu dan penumpang hadapan kereta itu menyebabkan berlaku berbalas tembakan oleh pihak polis untuk mempertahankan diri.

“Pemeriksaan lanjut selepas itu mendapati seorang daripada anggota polis terjatuh, dipercayai terkena tembakan yang mengenai baju kalis peluru yang dipakainya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Wan Hassan berkata, hasil pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang mendapati mereka rebah dan sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui dua pistol jenis revolver .38, parang, pedang, satu kuku kambing, playar, pemutar skru, tiga penutup muka, sarung tangan, dua beg galas dan jaket.

“Kesemua barangan yang dirampas itu dipercayai digunakan untuk tujuan samun dan pecah rumah.

“Operasi khas dilaksanakan ini susulan terdapat kes samun, terutama di kawasan Sungai Petani dan Kulim, dipercayai mangsanya adalah pesara dan warga emas mempunyai kewangan yang mana rumah mereka dipecah masuk dan disamun dengan menggunakan parang.

“Susulan itu, kita buat operasi ini dengan pasukan dari daerah namun pada malam kejadian, anggota kita terserempak dengan penjenayah terbabit dan tidak berhenti serta mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) , Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles