LONDON – Britain turut berdepan kenaikan harga telur susulan kos makanan ternakan itu meningkat selain berdepan kekurangan bekalan serius pada masa depan disebabkan perang di Ukraine.
Serangan selesema burung juga dikatakan sebagai satu lagi punca bekalan telur kekurangan di negara berkenaan.
Banyak pasar raya, termasuk peneraju pasaran Tesco dan No. 3 Asda, mencatu jualan makanan ruji utama itu.
Walaupun petani berpendapat wabak adalah salah satu faktor penyumbang, kenaikan harga telur yang dijual tidak memadai untuk menampung kos operasi, sekali gus memaksa mereka mengurangkan pengeluaran.
Ketua Eksekutif Persatuan Pengeluar Telur Ayam Kampung British (BFREPA), Robert Gooch, berkata pihaknya memberi amaran kepada peruncit dan memberi notis amaran awal bahawa perkara itu akan berlaku.
Persatuan itu menganggarkan jumlah bekalan telur United Kingdom (UK) sudah jatuh enam peratus kepada 36.4 juta dalam tempoh 12 bulan yang lalu, malah mungkin menghadapi masalah bekalan lebih serius pada masa hadapan.
Kesatuan Peladang Kebangsaan Britain (NFU) berkata, kekurangan telur mungkin hanya permulaan, kerana era baharu tenaga dan bijirin yang mahal, digabungkan pula dengan kekurangan buruh sudah pasti memburukkan lagi keadaan.
Katanya, industri telur Britain hanya boleh diselamatkan sekiranya pengeluar dan peruncit makanan ternakan bersetuju dengan syarat yang lebih adil untuk masa depan.
Walaupun inflasi dua angka merenggangkan hubungan antara pengeluar dan peruncit di seluruh dunia, persaingan sengit dalam kalangan peruncit makanan Britain mengekalkan harga di bawah purata Eropah dan julat keuntungan mereka antara yang terendah.
Pengeluar telur mengatakan, walaupun pasar raya sudah menaikkan harga runcit dan membayar petani lebih, kenaikan itu tidak mencukupi untuk menampung peningkatan kos yang mendadak.
NFU mengatakan, walaupun pengeluar telur Britain dibayar 35 peratus lebih untuk telur mereka berbanding pada 2019, kos bahan mentah makanan ayam kini melonjak 90 peratus.
Data rasmi UK menunjukkan harga runcit telur tahun ini meningkat 27 peratus berbanding tahun lalu. – REUTERS