fbpx

Tanah runtuh: Angka sebenar mangsa 92, hanya satu belum ditemui

BATANG KALI – Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, angka sebenar mangsa tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong, di sini, adalah 92 orang.

Beliau berkata, semakan mendapati berlaku pertindihan nama dalam buku pendaftaran tapak perkhemahan yang membawa kepada angka 94.

“Ia berdasarkan rekod daftar di pusat perkhemahan (Father’s Organic Farm), dan selepas kita buat semakan beberapa kali, termasuk maklumat daripada laporan polis oleh waris, kita rumuskan bahawa jumlah rasmi sebenarnya adalah 92 orang, iaitu kurang dua orang daripada jumlah asal yang dilaporkan sebelum ini.

“Setakat ini, yang ditemui meninggal dunia adalah seramai 30 orang, selamat (61) dan seorang lagi mangsa belum ditemui,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, identiti seorang lagi mangsa yang belum ditemui itu sudah pun dikenal pasti iaitu seorang kanak-kanak lelaki.

Empat mayat ditemui dalam satu khemah yang tertimbus di dalam tanah.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah turut memaklumkan penemuan empat mayat mangsa dalam satu khemah yang tertimbus di dalam tanah.

Kesemua mereka yang disahkan sekeluarga ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.04 pagi.

“Semasa proses mengeluarkan mayat, pasukan bomba menemui keempat-empat mangsa berbalut dalam satu khemah pada kedalaman tanah tujuh meter.

“Empat mayat itu terdiri daripada dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan serta seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa,” katanya.

Sepanjang operasi SAR yang genap seminggu pada hari ini, seramai 30 mangsa ditemui dan disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi masih hilang.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu, yang terletak di Gohtong Jaya, di sini.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles