BAKAL menjengah ke usia 30 tahun pada Oktober depan, Aina Abdul mengaku dia belum memiliki teman hidup sebagai peneman atau berkongsi segala rasa yang dilalui dalam kehidupan sehariannya.
Bagi pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani ini, dia belum memiliki teman lelaki selain tidak bersedia untuk bergelar isteri.
“Saya tak tahu kalau ada yang persoal atau bertanya sama ada saya sudah mempunyai pasangan hidup atau tidak sebab masa yang saya luangkan di media sosial sangat terhad.
“Lagipun sekarang ini saya banyak fokus dengan kerja. Walaupun jawapannya agak ‘klise’ tapi inilah kebenarannya.
“Saya tak pernah fikir untuk membahagikan masa antara karier dan hubungan cinta sebab saya kenal diri saya. Sebenarnya saya tak bersedia untuk berkahwin sebab ada banyak benda nak diperbaiki sebagai wanita. Saya akui banyak kelemahan dan tak cukup ke arah itu. Jadi buat masa ini saya enggan memikirkannya,” katanya.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah dan Semalam ini, dia tidak menganggap kesibukan sebagai penyanyi menghalang untuk dirinya mencari jodoh.
“Hakikatnya mental saya pun belum cukup bersedia ke arah itu. Lagipun saya tak mencari atau berkenalan dengan mana-mana lelaki. Jadi, kesibukan dengan kerja bukan satu penghalang atau mengganggu urusan itu,” katanya.
Ditanya bilakah peminat dapat melihat dia ke jenjang pelamin, Aina tidak ada jawapannya.
“Soal jodoh ini adalah rahsia Allah. Saya hanya mampu mengatakan saya tidak berkenalan dengan sesiapa ketika ini dalam hidup saya,” katanya. – Lapor Harian Metro