TENOM – Mahkamah Majistret Tenom, hari ini, tidak membenarkan permohonan pendakwaan bagi mengambil keterangan secara tertutup menggunakan kamera, dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah, Ebit Lew.
Majistret Nur Asyrat Zolhani dalam keputusannya memaklumkan mahkamah berpendapat tiada sebab untuk mahkamah mendengar perbicaraan menerusi kamera seperti di bawah Seksyen 101 Akta Mahkamah Rendah 1948.
Menerusi keputusan itu, mahkamah tidak membenarkan keterangan dua saksi iaitu pengadu, yang identitinya tidak didedahkan dan Pegawai Analisis Forensik, Inspektor Yip Chang Ching, diambil melalui kamera.
“Kes ini melibatkan jenayah seksual dan bukti dijangka boleh bersifat bahan lucah,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, memohon kebenaran mahkamah untuk mengambil keterangan saksi menggunakan kamera.
Sementara itu, mahkamah turut mengingatkan orang awam supaya tidak mengambil sebarang gambar atau video sepanjang prosiding terbabit berlangsung.
Perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan Ebit Lew disambung di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini dan akan berlangsung sehingga 10 Februari ini.
Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim, 37, berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp, yang didakwa berlaku di daerah Tenom, di antara Mac hingga Jun 2021.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BH Online