Kuala Lumpur: Tempoh pelaksanaan Menu Rahmah adalah bergantung kepada pemain industri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurutnya, tidak ada paksaan buat pemain industri mahupun peniaga untuk melaksanakan inisiatif itu, sebaliknya mereka bebas menyertai secara sukarela.
“Terpulang kepada pemain industri. Kalau mereka menganggap ini sebagai suatu yang bukan hanya keuntungan besar (dan) lebih kepada memberikan makanan kepada mereka yang memerlukan, saya rasa tempoh itu akan dapat diperhatikan dari masa ke masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Menu Rahmah oleh Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) di Cheras, hari ini.
Salahuddin berkata, beliau percaya selagi kebajikan dianggap pemain industri sebagai sesuatu yang mereka perlukan, maka sepanjang tempoh itu Menu Rahmah dapat diberikan kepada rakyat.
Tegasnya, dakwaan sesetengah pihak bahawa Menu Rahmah hanya bertahan selama tiga bulan sahaja, bukanlah petunjuk prestasi utama (KPI) kementeriannya.
“Kita tidak mengambil itu sebagai KPI kita. Apa yang penting adalah di saat ini kerajaan, khususnya KPDN mengambil suatu pendekatan tidak ada rakyat Malaysia yang boleh lapar dalam negara kita,” katanya.
Mengenai dakwaan Menu Rahmah adalah ulangan kepada inisiatif nasi bajet, Salahuddin tidak menafikan usaha itu pernah dilaksana sebelum ini.
“Yang baik tetap baik. Cuma saya melanjutkan usaha yang baik itu. Itu tidak ada masalah. Kami tidak pernah cemburu.
“Walaupun mungkin ada selepas ini orang yang mengambil inisiatif ini (dan) nak menamakan bukan rahmah pun, tak apa. Asalkan perut rakyat mesti berisi. Itu niat kami daripada kerajaan,” katanya. (Sumber Metro Online)