JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan peningkatan semula menjadi 45,058 orang daripada 12,746 keluarga setakat 8 pagi ini.
Daripada jumlah tersebut, 35,099 mangsa membabitkan 9,835 keluarga merupakan penduduk Batu Pahat, daerah paling terjejas ketika ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sejak tengah malam tadi, seramai 1,739 penduduk di daerah berkenaan dipindahkan ke 106 pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, hingga pagi ini, jumlah PPS yang masih aktif ialah sebanyak 186 di Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.
“Banjir termenung di beberapa daerah menyebabkan jumlah mangsa banjir tidak berubah dengan seramai 4,094 mangsa daripada 1,225 keluarga di Muar dan 2,436 mangsa daripada 766 keluarga di Tangkak.
“Turut terjejas seramai 1,444 mangsa daripada 367 keluarga di Segamat, diikuti Mersing dengan 799 mangsa, Kota Tinggi (707) dan Kluang (478),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, banjir yang melanda sejak awal bulan ini merekodkan enam kematian, iaitu tiga kes di Segamat dan masing-masing satu kes di Kluang, Mersing dan Batu Pahat.
Sebanyak 10 sungai di Segamat, Muar dan Batu Pahat yang berada dalam kategori paras air berbahaya mulai menunjukkan penurunan, antaranya Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Muar di Bukit Kepong, Kampung Olak Sepam dan Panchor, Muar dan Sungai Bekok, Sungai Sembrong, Sungai Simpang Kanan dan Sungai Simpang Kiri di Batu Pahat.
Sebanyak 36 laluan dan susur masih ditutup untuk semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Johor Bahru-Seremban, Jalan Paloh, Jalan Yong Peng-Muar, Jalan Sri Bengkal dan Jalan Sri Medan. – Sumber Utusan Malaysia Online