Kuala Lumpur: Anggaran perbelanjaan sepanjang Ramadan dianggarkan mampu mencecah RM10 bilion termasuk perbelanjaan di bazar Ramadan membabitkan lebih RM70 juta sehari.
Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, jumlah itu mengambil kira seluruh keluarga Islam berjumlah kira-kira 7.5 juta di negara ini berbelanja sekitar RM20 hingga RM30 setiap hari untuk juadah berbuka puasa.
“Kos ini termasuk pembelian juadah berbuka puasa, moreh dan sahur, ia tidak termasuk ada keluarga Islam yang mampu berbelanja di bufet hotel yang pastinya lebih mahal.
“Jika kita buat satu anggaran mudah, bagi tempoh hampir sebulan Ramadan ini, perbelanjaan untuk bazar Ramadan mencecah sekitar RM2 hingga RM4 bilion.
“Kita lihat pula kos untuk bufet Ramadan di hotel, ia sekitar RM100 hingga RM200, saya tidak fikir masih ada bufet yang ditawarkan sekitar RM50 sekepala, sebaliknya semua mencecah RM100 ke atas,” katanya.
Beliau berkata, daripada 7.5 juta keluarga Islam di negara ini, anggaran untuk keluarga yang mampu berbelanja besar sebagai contoh, sekitar 500,000 berbuka setiap hari di hotel dan jumlah yang dibelanjakan adalah sekitar RM5 bilion.
Menurutnya, bufet Ramadan ini lebih banyak diadakan di hotel besar berbanding dengan restoran tiga atau empat bintang.
Katanya, mungkin peniaga Bumiputera kurang terbabit dan perlu diingat bahawa Ramadan ini adalah kemuncak bulan dalam Islam.
“Ini belum mengambil kira pakaian raya. Jika lima juta keluarga dengan isi rumah empat orang membeli sepasang baju raya seorang pada kos RM60 seorang, jumlah perbelanjaan ialah RM1.2 bilion.
“Lain-lain perhiasan rumah, jika ada sejuta orang membeli perkakas rumah pada harga RM500 bagi sebuah rumah, jumlahnya ialah RM2.5 bilion.
“Kos kuih raya untuk 7.5 juta keluarga Islam dianggarkan RM200 setiap rumah, jumlahnya RM1.5 bilion.
“Jika ada 500,000 keluarga Muslim yang mengadakan pesta rumah terbuka dengan kos RM2,000 hingga RM5,000 seorang, sejumlah RM1 bilion dibelanjakan untuk sambutan rumah terbuka,” katanya.
Menurutnya, kemungkinan, minimum jumlah permintaan berkesan bagi sambutan Ramadan dan Aidilfitri akan menjangkau lebih daripada RM10 bilion sepanjang sebulan.
Bagaimanapun, katanya, semua orang perlu lebih cermat dalam berbelanja supaya ia tidak dilaburkan dengan perkara-perkara yang tidak perlu seperti pembelian perabot dan sebagainya.
“Kita sememangnya digalakkan untuk menyambut Ramadan dan Syawal namun biarlah pada perbelanjaan yang cermat dan berpada-pada serta tidak melebih-lebih,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)