KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Budi Doremi, 38, simpati dengan nasib sahabatnya, pelakon Kamal Adli yang terbabit dalam insiden serangan di Singapura, baru-baru ini.
Budi atau nama sebenarnya, Syahbudin Syukur berkata, dia menghubungi Kamal bertanya khabar selepas insiden, malah turut mengundang rakannya itu ke Konsert Dream Festival: Nidji X Budi Doremi yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu.
“Ya, saya ada hubungi (Kamal). Saya tiba di Kuala Lumpur semalam dan Kamal meminta maaf kerana tak dapat datang kerana masih belum boleh keluar.
“Memang sebelum insiden ini berlaku, saya ada undang Kamal ke konsert, tetapi Kamal masih dalam kawalan polis.
“Sebenarnya, saya juga ingin melawat Kamal kerana dia adalah kawan di Malaysia. Kamal cukup baik dan banyak perkara lakukan bersama memandangkan kami suka bercanda,” katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Kamal diserang individu tidak dikenali di sebuah ekspo di Singapura hingga mengakibatkan suami kepada Uqasha Senrose itu mengalami kecederaan serius di kepala.
Kongsi Budi, dia sebenarnya mengenali Kamal sejak 2013 dan kali terakhir berjumpa pada Oktober tahun lalu.
Tambah Budi, dia mendapati Kamal seorang yang baik hati dan menyenangkan sepanjang mengenalinya.
“Kami bertemu ketika saya hadir melakukan promosi di Malaysia. Dan, sememangnya kami senang antara satu sama lain.
“Kamal tidak punya musuh dan sangat baik. Tetapi, ternyata sebaik-baik manusia masih ada yang tidak suka.
“Mudah-mudahan Kamal cepat sembuh dan kembali bekerja seperti dahulu,” katanya ditemui ketika sidang media sebelum konsert di Zepp Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Mengulas kebimbangan mengadakan persembahan di Malaysia selepas insiden menimpa Kamal, Budi tidak menafikan ada rasa gusar, tetapi hanya mampu bertawakal.
“Ya, saya juga khuatir, tetapi tidak tahu apa yang akan berlaku jadi lebih baik tawakal. Hal yang kita tak tahu, jadi serahkan pada Allah.
“Namun, dari sisi lain, kami cukup memastikan kawalan keselamatan supaya semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Kata Budi yang juga pelantun yang popular dengan lagu Melukis Senja berkata, dia sangat seronok diberi peluang menghiburkan peminat.
“Mengadakan konsert di Malaysia adalah salah satu impian saya. Jujurnya, saya gementar, apatah lagi ini adalah persembahan pertama di Kuala Lumpur.
“Terima kasih teman dan peminat yang hadir menyokong konsert ini,” katanya.
Pada konsert itu, Budi menyampaikan 10 lagu termasuklah Peace, Love, and Thank You, 123456, Tolong, Asmara Nusantara, Tak Kan Hilang, Melukis Senja, Mesin Waktu, Suka Suka (Yang Penting Bahagia) dan Doremi bersama Nidji serta Terukir Di Bintang bersama Aisha Retno. (Sumber Berita Harian Online)