ISKANDAR PUTERI: Ngauman Harimau Malaya terus mengganas apabila menewaskan Hong Kong 2-0 pada perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Ia kemenangan kedua berturut-turut skuad Harimau Malaya pada aksi perlawanan antarabangsa selepas menewaskan Turkmenistan 1-0, Khamis lalu dan pastinya kedudukan ranking FIFA akan berubah selepas tamat aksi dalam kalendar badan induk bola sepak antarabangsa itu yang akan dikemas kini bulan depan.
Pada pertembungan menentang Hong Kong, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon melakukan empat pertukaran apabila menyenarai Shahrul Saad dan Quentin Cheng di posisi pertahanan manakala di posisi tengah Nooa Laine turun dalam kesebelasan utama bersama Nor Azam Azih.
Seawal minit keempat, gawang skuad Harimau Malaya cemas seketika apabila bola sepakan sudut Leung Kwun Chung tepat kepada Vas Nunez yang menanduk bola tetapi mujur terkena tiang gol kanan ketika penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah tertewas.
Tersentak dengan percubaan berbahaya skuad kendalian Joern Andersen, Harimau Malaya mula mengatur serangan dan usaha berterusan membuahkan hasil untuk gol pertama pada minit ke-18.
Berpunca daripada kesungguhan Paulo Josue yang berjaya merampas bola dari kaki pertahanan Hong Kong dia sempat menolak bola kepada Faisal Halim yang bertindak mengumpan bola kepada Akhyar Rashid yang merembat tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Yapp Hung Fai.
Anak didik Andersen hampir menyamakan jaringan pada minit ke-35 selepas berlaku salah faham antara kapten Dion Cools dan Shahrul Saad yang menyaksikan Poon Pui Hin pantas menggelecek bola masuk ke dalam kotak penalti dan merembat bola leret tapi hanya sipi di sebelah kanan gawang.
Akhirnya Faisal Halim yang begitu dahagakan jaringan sejak berhijrah ke Selangor FC pada musim ini meleraikan kemarau gol yang membelenggu dirinya pada minit ke-41 apabila pemain sayap kanan skuad kebangsaan itu merembat bola leret menewaskan Hung Fai hasil bola umpanan Darren Lok untuk meletak anak didik Pan Gon selesa mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Malaya menggandakan asakan dan hampir menambah jaringan pada minit ke-53 berpunca daripada bola umpanan Faisal membuka ruang buat Darren memperdaya benteng pertahanan Hong Kong tetapi bola rembatan leretnya sekadar sipi dari gawang gol.
Selang seminit kemudian Faisal terlepas peluang mencetak gol kedua peribadi apabila bola lorongan Darren menyaksikan pemain kelahiran Pulau Pinang itu gagal merembat bola tepat ke gawang pelawat ketika Hung Fai sudah tertewas.
Sedar kemenangan berada di genggaman, skuad Harimau Malaya tampak memperlahankan rentak permainan dan kerap mendominasi setiap posisi dan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan mengulangi pencapaian ketika aksi menentang pasukan yang sama pada 1 Jun lalu. (Sumber Berita Harian Online)