Penyanyi veteran Zaleha Hamid makin pulih

Petugas kesihatan peribadi jaga Zaleha di rumah | Selebriti | Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kesihatan penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 66, yang diserang angin ahmar sehingga koma pada 2019, makin menunjukkan perkembangan positif, menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan umat Islam, minggu depan.

Suami Zaleha, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, memberitahu isterinya sudah mampu berkomunikasi, makan, minum dan membuang air kecil tanpa menggunakan tiub.

Malah, tambah Ungku Sulaiman, daya ingatan Zaleha yang juga cukup terkenal pada era 1980-an, semakin kuat sejak kebelakangan ini.

“Alhamdulillah, kesihatan isteri sudah 30 peratus pulih. Dia sudah boleh bercakap. Makan dan minum pun tidak perlu pakai tiub lagi. Bagaimanapun, isteri hanya boleh makan nasi lembik. Makanan pepejal seperti daging dan ayam perlu dikisar terlebih dulu.

“Daya ingatannya juga semakin kuat. Dia sudah boleh kenal orang termasuk rakan-rakan yang datang menziarah, malah isteri sudah boleh ingat cerita lama apabila kami bersembang. Cuma pergerakannya agak terbatas kerana tubuhnya masih sakit terutama apabila kena sentuh,” katanya kepada BH Online.

Ungku Sulaiman berkata, dia dan anak bongsu, Ungku Nor Muhammad Daniel sentiasa memberi kata-kata semangat kepada Zaleha agar kembali sihat dan menjalani kehidupan normal.

Ketika ditemuramah, kedengaran sayup suara penyanyi yang popular dengan lagu Dangdut Reggae itu bertanya dengan siapakah suaminya itu berbual.

Ungku Sulaiman kemudian menjawab pertanyaan isteri sebelum menyerahkan telefon bimbitnya kepada Zaleha.

Dengan suara kurang jelas, Zaleha berusaha berbual sambil memberitahu beliau sudah semakin sihat dan selera makannya bertambah.

“Saya sudah sihat dan kuat makan. Terima kasih kerana doakan kesihatan saya,” katanya dengan nada suara yang agak lemah.

Selain mengambil pil vitamin berkaitan saraf, Ungku Sulaiman bercadang untuk mendapatkan rawatan alternatif untuk isterinya itu.

“Kami masih meneruskan rawatan yang disarankan doktor iaitu makan pil saraf. Insya-Allah, selepas hari raya, saya akan bawa isteri berurut selepas disarankan jiran,” katanya.

Berkongsi persiapan menjelang Aidilfitri, Ungku Sulaiman berkata, beliau bersederhana dalam menyambut hari mulia itu.

“Biasanya, kami akan pulang ke rumah ibu saya yang tinggal di kawasan berdekatan.

“Untuk bergerak, isteri menggunakan kerusi roda. Di rumah ibu, ada katil bergerak untuk isteri baring.

“Selepas beraya, pada sebelah petang, barulah kami pulang ke rumah,” ujarnya.

Zaleha yang terkenal dengan lagu genre dangdut, Hindustan dan Melayu Deli itu diserang angin ahmar selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember 2019.

Pada 2020, Zaleha dilaporkan terlantar di katil dan hanya mampu mengerdipkan mata sebagai tanda isyarat.

Pada era kegemilangan, Zaleha pernah merakamkan lagu duet bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Herman Tino. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles