Tidak wajar salahkan juruterbang sahaja – Laporan nahas Double Six

Tragedi Double Six – Gambar Berita Harian Online

PENAMPANG: Juruterbang pesawat Nomad milik Sabah Air yang terhempas dalam Tragedi Double Six di pantai Kampung Sembulan, dekat sini, pada 6 Jun 1976 tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas nahas yang berlaku ketika itu.

Anak seorang daripada mangsa tragedi, Datuk Donald Peter Mojuntin, berkata tindakan menyalahkan hanya juruterbang sebagai punca kemalangan udara berkenaan adalah tidak adil.

Beliau berkata, pihak berkuasa sepatutnya lebih bertanggungjawab memandangkan pesawat terbabit membawa individu penting, iaitu Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens bersama hampir separuh daripada anggota Kabinet negeri pada masa itu.

“Tidak adil salahkan seorang saja, iaitu juruterbang. Saya tidak boleh percaya juruterbang yang dikatakan dalam laporan itu sudah terbangkan pesawat (sebelum itu) kerana ini membabitkan setengah daripada anggota Kabinet Sabah dalam kapal.

“Pihak berkuasa mesti memastikan keselamatan semua individu ini (yang berada dalam pesawat), tidak boleh kata dalam laporan sekarang lelaki ini ada sakit perut dan lain-lain.

“Ia (laporan akhir) tidak memuaskan, perasaan kami tergantung, ada yang marah dan ada yang kecewa. Kami mahu tahu lebih lanjut apa yang berlaku sebenarnya,” katanya ditemui di bekas kediaman mendiang bapanya, di sini, semalam.

Ayahnya, mendiang Datuk Peter Mojuntin yang ketika itu adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah adalah antara 11 individu dalam pesawat terbabit bersama Tun Fuad yang terkorban.

Semalam, Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Datuk Ewon Benedick mewakili Kerajaan Persekutuan menyerahkan salinan laporan nahas berkenaan kepada balu Peter yang juga ibu Donald, Datin Nancy Mary Mobijohn.

Laporan akhir nahas itu yang didedahkan Kementerian Pengangkutan kelmarin antara lain menyebut, juruterbang, Gandhi J Nathan yang turut terkorban, hilang kawalan terhadap pesawat terbabit menyebabkannya terhempas.

Laporan berkenaan turut menyebut mengenai keadaan juruterbang pada masa itu yang dilaporkan dalam keadaan baik untuk mengendalikan pesawat, namun ada saksi mengatakan juruterbang mengalami masalah perut dan keletihan.

Selain itu, laporan turut menyebut muatan pesawat yang tidak seimbang menyebabkan pesawat menjunam ke laut dekat pantai Kampung Sembulan ketika mendekati landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Donald berkata, laporan akhir nahas yang dikeluarkan semalam lebih menunjukkan kesalahan juruterbang atau syarikat penerbangan Sabah Air, namun beliau menganggapnya tidak lengkap.

“Bagi saya laporan itu tidak lengkap, keluarga lain juga pasti sama. Di manakah laporan forensik kapal itu, apa terjadi kepada kotak hitam dan kenapa ada saksi mengatakan juruterbang sakit perut?

“Pada masa itu umur saya 11 tahun dan kami dengar ada saksi mengatakan berlaku letupan tetapi perkara itu tidak disebut. Jadi kita rasa ia tidak lengkap, malah ia memanjangkan lagi keresahan kami,” katanya.

Sementara itu, anak juruterbang terbabit, Nizam Gandhi, dilaporkan berkata syarikat penerbangan seharusnya memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan pesawat malang itu mematuhi garis panduan penerbangan ditetapkan.

Katanya, ayahnya selaku juruterbang pesawat berkenaan tidak wajar memikul tanggungjawab berseorangan, memandangkan syarikat penerbangan mempunyai tanggungjawab berhubung operasi pesawat.

“Juruterbang tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana syarikat penerbangan perlu menyediakan laporan muatan pesawat sebelum berlepas,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles