PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan memerintahkan dua petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah dan Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh calon Barisan Nasional (BN) dan pengundi dari kawasan Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan.
Tun Tengku Maimun yang mengetuai panel terdiri daripada hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan mendengar kedua-dua rayuan itu pada Selasa.
Petisyen pilihan raya yang difailkan calon BN bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid dan pengundi Parlimen Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil, masing-masing dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya Melaka dan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 7 Februari dan 12 Februari lepas setelah mahkamah menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh responden dalam kedua-dua kes itu.
Abdul Hakim merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu yang membatalkan petisyen pilihan rayanya untuk membatalkan kemenangan Ketua Bersatu Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada PRU15 bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah.
Sementara itu, Wan Mohamad Hisham merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyen pilihan rayanya untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kemaman yang dimenangi oleh Che Alias Hamid daripada Pas.
Dalam keputusan mahkamah, Tun Tengku Maimun berkata, pliding dalam petisyen pilihan raya bagi kedua-dua kes adalah mencukupi.
Oleh itu, beliau memerintahkan kedua-dua kes dihantar semula untuk pendengaran penuh berhubung merit di hadapan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang berbeza.
Mahkamah menetapkan 5 Mei untuk sebutan bagi petisyen pilihan raya Abdul Hakim di Mahkamah Pilihan Raya di Melaka dan 8 Mei untuk sebutan petisyen pilihan raya Wan Mohamad Hisham di Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu.
Pada 3 Januari lepas, Abdul Hakim memfailkan petisyen pilihan raya, mendakwa rasuah, dalam bentuk wang dan jamuan, digunakan untuk memikat pengundi pada PRU15.
Mas Ermieyati, yang bertanding di bawah tiket PN-Bersatu memenangi kerusi itu, dengan majoriti 4,411 undi, dalam pertembungan empat penjuru menentang Abdul Hakim, Mutalib Uthman (MUDA) dan Handrawirawan Abu Bakar (GTA-Pejuang).
Sementara itu, Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Kemaman di Terengganu.
Che Alias dari Pas menang kerusi itu dengan 65,714 undi mengalahkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said, calon PKR, Hasuni Sudin (PKR) dan Pejuang, Rosli Ab Ghani (Pejuang).
Dalam rayuan pada Selasa, peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Abdul Hakim dan Wan Mohamad Hisham berhujah bahawa petisyen pilihan raya tersebut tidak cacat dan sepatutnya didengar berdasarkan merit.
Bagaimanapun, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Mas Emieyati dan peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Che Alias masing-masing berhujah bahawa petisyen pilihan raya berkenaan tidak mempunyai butiran berkaitan dakwaan rasuah dan sepatutnya dibatalkan. – (Sumber Sinar Harian Online)