Kuala Lumpur: Dengan sekali lafaz penyanyi Rap, MK, 27, selamat bergelar suami kepada Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, pada jam 9.35 pagi ini dalam majlis akad nikah di Masjid Jami’il Huda, Kampung Melayu Ampang, di sini.
Pasangan itu dinikahkan jurunikah Penolong Pendaftar Nikah Kariah Masjid Jami’il Huda, Ampang, Mahdi Mat Zain serta diwalikan bapa kepada pengantin perempuan Datuk Sri Dr Syeikh Nordin Sheikh Ahmad.
MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, yang segak berbaju putih menyerahkan mas kahwin sebanyak RM302 dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran dirahsiakan.
“Alhamdulillah majlis berjalan lancar seperti dirancang. Walaupun persiapan agak singkat, segalanya dipermudahkan. Doakan kebahagiaan kami,” kata MK.
Sementara itu, kedua-dua belah pihak masing-masing berbalas enam hantaran di mana dulang lelaki dibawa berarak masuk oleh rakan anggota K-Clique yang lain.
Pada majlis berlangsung sederhana itu, rombongan keluarga MK dari Sabah turut hadir meraikan hari bahagia pasangan itu selain keluarga pihak perempuan.
Selain anggota K-Clique, penyanyi Zizi Kirana dan suaminya juga pelakon Yusuf Bahrin antara rakan artis yang turut hadir menyaksikan hari bahagia pasangan sejoli terbabit.
Pada Mei lalu, MK mencuri perhatian apabila tular video yang menyaksikan dirinya memimpin tangan seorang wanita dalam sebuah majlis. (Sumber Harian Metro Online)