KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi bersyukur dengan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diterimanya, hari ini.
Fauziah berlapang dada orang seni sepertinya menerima pengiktirafan dan menerima tanggungjawab yang diberikan untuk memberikan karya yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya tidak pernah mendapat anugerah pelakon terbaik, jadi pengiktirafan ini memberikan erti dan makna yang cukup indah buat saya.
“Pada awalnya bukan gelaran PJN, namun kemudian saya menerima surat memaklumkan mengenai pengiktirafan diberikan pada hari ini. Alhamdulillah, mujur uniform ketika majlis istiadat berjaya siap pada 1 Julai lalu.
“Sejujurnya, saya sememangnya terkejut dan tidak mengharapkan apa-apa, namun saya bersyukur menerima pengiktirafan ini ketika masih hidup.
“Awalnya, bapa saya tidak memberikan keizinan kepada saya untuk berkecimpung dalam bidang seni, namun jika sudah memulakan sesuatu jangan pernah menyerah.
“Jadi, inilah perjuangan saya dan kata-kata itu sentiasa jadi pegangan,” katanya kepada Harian Metro.
Fauziah turut risau akan keadaan kaki kanannya yang tidak mengizinkan, namun bersyukur majlis istiadat berjalan dengan lancar.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin, hari ini berkenan mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Izham Ismail dan Fauziah Nawi.
Dua tokoh itu mendahului senarai 297 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2023 pada istiadat pengurniaan di Istana Negara, hari ini. (Sumber Berita Harian Online)