LONDON: Nilai semasa Chelsea menyusut 124 juta pound (RM744 juta) daripada perbelanjaan yang dikeluarkan, manakala Manchester United mengalami penurunan 115 juta pound (RM690 juta).
Begitupun, berbeza dengan Arsenal apabila kelab itu mencatat peningkatan nilai 343 juta pound (RM2.05 bilion).
Chelsea menghuni tangga tercorot dalam penilaian Transfermarkt mengenai nilai skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berbelanja besar untuk membeli pemain dengan nilai kolektif 756 juta pound (RM4.53 bilion).
Jumlah itu menjelaskan mengapa pemilik Blues, Todd Boehly melepaskan ramai pemain pada musim panas ini selepas berbelanja mewah sepanjang dua jendela perpindahan terakhir bagi membeli bintang termasuk Enzo Fernandez, Mykhailo Mudryk dan Wesley Fofana.
Ramai pemain yang diwarisi dalam tempoh pemilikan Boehly susut nilai dengan ketara, termasuk penyerang Romelu Lukaku, yang menelan kos 97.5 juta pound (RM585 juta) pada 2021 tetapi kini dinilai oleh Transfermarkt hanya 34 juta pound (RM204 juta).
United satu lagi kelab yang mahu mengurangkan kerugian mereka untuk beberapa pemain dan mengumpul dana buat Erik ten Hag membentuk semula skuadnya pada musim panas ini.
Angka menunjukkan Red Devils membelanjakan hampir 830 juta pound (RM4.98 bilion) bagi membentuk skuad semasa mereka tetapi ia hanya mempunyai nilai kumulatif kira-kira 715 juta pound (RM4.29 bilion).
Harry Maguire dan Jadon Sancho antara pemain yang susut nilai dengan teruk selepas kelab membayar masing-masing 80 juta pound (RM480 juta) serta 73 juta pound (RM438 juta) untuk mengikat mereka.
Arsenal sebaliknya meraih keuntungan besar daripada skuad mereka.
Walaupun pengurus pasukan, Mikel Arteta hanya berbelanja 572 juta pound (RM3.4 bilion), mereka mempunyai anggaran nilai 915 juta pound (RM5.49 bilion).
Ia mencerminkan pembelian berhemah di pasaran tetapi juga membuktikan perkembangan pemain tempatan seperti Bukayo Saka, yang tidak menelan kos tetapi kini dianggarkan bernilai 102 juta pound (RM612 juta), menurut Transfermarkt. – (Sumber Utusan Malaysia Online)