PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Fikry Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk berkecimpung dalam arena politik satu masa nanti.
Bagaimanapun, hasrat tersebut hanya akan direalisasikan sekiranya dia mempunyai perniagaan dan kerja hakiki sendiri.
“Kalau sekadar masuk politik hendak sertai parti politik semata-mata, sudah tentu kita akan mempunyai niat untuk mempunyai jawatan lebih tinggi sebab tidak mempunyai sumber lain.
“Selagi mana ada mentaliti itu, saya tak akan masuk politik sebab hanya merosakkan keadaan dengan merebut jawatan, sedangkan tujuan kita sebenar adalah untuk bantu rakyat,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran filem Rahsia, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Fikry turut menempelak mana-mana individu yang menjalankan perniagaan menggunakan kabel kerajaan.
Katanya, sikap sedemikian sebenarnya memberi kesan terhadap rakyat yang tidak dapat merasai kemudahan yang sepatutnya.
“Rasuah ini sangat bahaya, sebab ada individu seperti ini yang akan memberikan kesan terhadap rakyat.
“Saya orang kampung, saya tahu situasinya. Saya sangat geram terhadap individu yang ambil duit rakyat dan guna untuk kroni mereka. Sebab itu, saya lebih suka buat perniagaan sendiri bukan ambil kesempatan menggunakan duit rakyat,” katanya. (Sumber Utusan Malaysia Online)