KUALA LUMPUR: Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh akhirnya berkahwin dengan kekasihnya, Jean Todt selepas 19 tahun mengikat tali pertunangan.
Berita gembira itu dikongsi bekas pelumba Formula One, Felipe Massa di Instagram, hari ini.
“Selamat berkahwin, Jean Todt dan Michelle Yeoh, sayang kamu,” tulis pelumba kelahiran Brazil itu.
Menerusi kad jemputan dimuat naik Masaa, Yeoh, 60, dan Todt, 77, berkahwin secara rasminya di Geneva, semalam.
“Kami bertemu di Shanghai pada 4 Jun 2004.
“Tarikh 26 Julai 2004, JT melamar MY dan bersetuju.
“Hari ini (semalam) selepas 6992 hari, dikelilingi keluarga dan rakan, kami sangat gembira meraikan hari istimewa ini,” tulis dalam kad jemputan.
Terdahulu, Yeoh dan Todt bertemu buat kali pertama pada 4 Jun 2004 di Shanghai Grand Prix di mana Ratu Cantik Malaysia pada 1983 itu sedang melakukan publisiti untuk jenama kereta Ferrari, manakala Todt pula adalah Pengurus Besar ketika itu.
Bintang Asia pertama yang meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95, Mac lalu pernah berkongsi, Todt membantu menghalau petugas membersihkan pentas pada acara itu kerana melayan Yeoh dengan buruk.
“Dia hampir sama tinggi dengan saya, tetapi Todt berjaya menghalang seorang yang lebih besar daripadanya.
“Tanggapan pertama saya kepada Todt pada ketika adalah positif,” katanya. Mereka kemudiannya mengikat tali pertunangan pada 26 Julai 2004.
Todt memegang jawatan Pengurus Besar, Scuderia Ferrari antara 1993 hingga 2007 dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) antara 2004 hingga 2007.
Anak Todt dari perkahwinan terdahulu yang dikenali sebagai Nicholas turut hadir ke majlis perkahwinan bapanya.
Yeoh yang sukses dengan watak Evelyn Wang menerusi filem Everything Everywhere All at Once sehingga dianggap sebagai aktres Asia paling berjaya dan berpengaruh pernah berkahwin dengan ahli perniagaan dari Hong Kong, Dickson Poon pada 1988, bagaimanapun berpisah pada 1991. (Sumber Berita Harian Online)