NAIB juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal memberi isyarat awal kepada kelab lain apabila menjadikan juara treble musim lalu, Manchester City mangsa kebangkitan pasukan dari London tersebut dalam mencabar kejuaraan musim ini.
Angkatan Mikel Arteta menewaskan Manchester City kendalian Pep Guardiola, 4-1 dalam penentuan sepakan penalti bagi merangkul Perisai Komuniti di Stadium Wembley, pada Ahad.
“Bagi kami, ia adalah satu kenyataan dan penanda untuk mengetahui kami boleh pergi dan menewaskan Man City dalam perlawanan besar dan penting.
“Saya tidak pasti bagaimana musim ini. Tetapi halangan mental itu telah hilang. Kami bersedia untuk meneruskannya sekarang,” kata penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale selepas perlawanan tersebut.
Tampil sebagai pasukan pilihan Manchester City menguasai penguasaan bola pada separuh masa pertama, Arsenal mempunyai peluang lebih baik apabila Kai Havertz mempunyai dua percubaan yang diselamatkan penjaga gol kelahiran Jerman, Stefan Ortega.
Separuh masa kedua, angkatan Guardiola menunjukkan lebih keinginan bermula dengan tandukan John Stones, namun diselamatkan penjaga gawang The Gunners, Aaron Ramsdale.
Gol dicari Manchester City akhirnya dijelmakan menerusi pemain gantian Cole Palmer yang memecah kebuntuan dengan percubaan melencong dari tepi menewaskan Ramsdale pada minit ke-77.
Ramsdale sekali lagi dipaksa lebih keras apabila menafikan percubaan Phil Foden dan Rodri untuk mengekalkan defisit kepada satu gol. (Sumber Sinar Harian Online)