SHAH ALAM: Pelakon Farid Kamil, 42, dan isterinya, Diana Danielle, 32, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari hari ini.
Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof kira-kira pukul 3:22 petang tadi.
Lafaz cerai dilakukan menerusi aplikasi Google Meet memandangkan Farid mengalami masalah kesihatan pasca Covid-19.
“Kita boleh tutup buku dan mulakan hidup baru. Saya doa dia pun dapat menjalani hidup dengan lebih baik dan menjadi versi terbaik diri masing-masing.
“Saya sudah bersedia dari segi mental cuba apa yang dibelakang pintu hanya saya yang tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia sejurus prosiding penceraian.
Melepaskan perkahwinan yang dibina selama 11 tahun, pelakon Imaginur itu tidak mahu mengingatnya sebagai kenangan yang buruk.
“Saya banyak belajar benda yang baik, untuk matang, ibu serta isteri yang baik. Tidak semestinya pengakhiran ini membuat saya ambil yang negatif.
“Saya ambil yang positif dan doakan kami mulakan hidup dengan lebih baik,” tambahnya.
Diana hadir bagi prosiding penceraian hari ini ditemani peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai pada 10 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan Diana berbuat demikian kerana dia dan Farid sudah berlaku shiqaq iaitu perbalahan panjang sebagai suami isteri.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora. (Sumber Utusan Malaysia Online)