Berbakti pada kucing, anjing jalanan, pesan doakan dapat zuriat

Putrajaya: “Saya sudah 10 tahun berkahwin tetapi masih belum ada rezeki mempunyai zuriat sendiri, namun tanpa jemu saya suka pesan pada kucing dan anjing jalanan yang diberi makan untuk mendoakan saya,” kata ahli perniagaan, Noor Liyana Mohd Hussain.

Noor Liyana, 37, memberi reaksi itu mengenai usahanya berkongsi rezeki dengan haiwan jalanan di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya, malah turut menyelamatkan kucing jalanan yang sakit sejak hampir 10 tahun lalu.

Pencinta haiwan itu berkata, dia akan memberi makan kepada haiwan jalanan terutama anjing setiap petang antara 4 hingga 5 petang.

Menurutnya, dia dan suami juga membela 27 kucing pelbagai baka termasuk kucing jalanan yang diselamatkan kerana mengakui hatinya tidak tenang melihat haiwan itu menahan sakit di jalanan bersendirian.

“Untuk anjing memang setiap hari saya akan bagi makanan seperti ayam rebus, habuk daging dan makanan kering kerana anjing biasanya banyak di tepi jalan dan tinggal di hutan.

“Anjing tidak duduk di kawasan ramai orang jadi pada saya ia agak sukar mencari makanan sendiri. Untuk kucing kalau saya nampak memang akan beri ia makan, lagipun di kawasan saya sudah ramai insan yang baik hati beri kucing makan setiap hari,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Noor Liyana berkata, dia juga akan mengambil kucing yang sakit untuk dirawat sama ada di rumah atau dihantar ke klinik haiwan dan selepas kembali sihat dan boleh bertahan di luar dia akan melepaskan kembali di jalanan.

Noor Liyana membelanjakan kira-kira RM2000 sebulan untuk memberi makan kepada anjing dan kucing jalanan (Sumber Harian Metro Online)

“Kucing yang tak boleh teruskan hidup di jalanan saya akan buka adoption tetapi kalau tiada berminat saya akan jaga,” katanya memberitahu pembantu dan sepupunya akan memberi makanan haiwan jalanan ketika dia mempunyai urusan lain.

Katanya, usaha itu dilakukan atas dasar ihsan dan simpati kepada haiwan jalanan kerana baginya anjing serta kucing juga makhluk Allah yang perlu dibantu dan dilayan baik.

“Saya faham ada segelintir individu yang kurang suka beri makan kepada haiwan jalanan atas faktor kebersihan kawasan dan sebab itu biasanya saya akan alas makanan serta buang alas itu selepas digunakan serta bersihkan juga tempat itu.

“Semua ini saya keluarkan belanja sendiri kira-kira RM2,000 sebulan dan dalam kereta memang sentiasa ada makanan kering dan basah untuk kucing serta anjing,” katanya.

Menurut Noor Liyana, dia suka berkongsi aktivitinya di TikToknya, @nanaharrisofficial dan beberapa video juga mendapat perhatian netizen, namun mengakui turut menerima komen kurang baik.

“Saya tahu apa yang haram tetap haram, namun itu tidak membataskan kita berbuat baik selagi menjaga batas kerana saya tidak memeluk atau mencium anjing hanya beri makan dan kalau suapkan pun akan pakai sarung tangan.

“Saya gembira dan tenang buat kerja ini kerana pada saya tak rugi berbuat baik dengan sesiapa saja termasuk haiwan, malah percaya kebaikan akan dibalas kebaikan juga biarpun dalam sedar atau tidak,” katanya. (Harian Metro Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles