NEW YORK: Pada usia 92 tahun, konglomerat media, Rupert Murdoch kembali menjalin hubungan cinta baharu hanya empat bulan selepas memutuskan pertunangannya dengan hos radio konservatif, Ann Lesley Smith.
Menurut The Guardian Australia, jutawan itu bertemu teman wanita barunya, Elena Zhukova, 66, pada satu perhimpunan keluarga yang diadakan oleh bekas isterinya, Wendi Deng.
Difahamkan, Deng dan Murdoch bercerai pada 2013 selepas 14 tahun berkahwin tetapi mempunyai hubungan baik, malah kedua-duanya sering menyertai acara keluarga yang melibatkan dua anak mereka, Chloe dan Grace.
Murdoch dilaporkan sudah berkahwin sebanyak empat kali dan mempunyai enam anak manakala Zhukova pula adalah seorang pesara saintis yang pernah menjadi isteri kepada ahli perniagaan bilionair, Alexander Zhukov.
Hubungan Murdoch dan Zhukova dilaporkan semakin intim dan pasangan itu dilihat menikmati percutian bersama di atas kapal layar mewah, Christina O di Mediterranean selama beberapa minggu.
Murdoch dilaporkan sudah dua kali menjalin hubungan cinta selepas bercerai dengan isteri keempatnya, yang juga bekas supermodel, Jerry Hall pada Ogos tahun lalu.
Pemilik syarikat media global News Corporation itu bertunang dengan Smith, 66, awal tahun ini sebelum secara dramatik memutuskannya hanya beberapa minggu selepas mengumumkan hubungan tersebut di akhbar New York Post miliknya.
Menurut sumber, Murdoch membatalkan rancangan mengahwini Smith selepas merasa semakin tidak selesa dengan pandangan agama wanita itu. (Sumber Utusan Malaysia Online)