Kuala Lumpur: Program realiti popular, Gegar Vaganza (GV) kembali dengan musim ke-10 yang lebih istimewa dengan menyaksikan 10 bekas juaranya berentap semula merebut gelaran juara All Stars Gegar Vaganza.
Sepuluh bekas juara yang bakal berentap ialah juara GV musim pertama, Ayai Ilusi, Siti Nordiana (musim kedua), Azharina (musim ketiga), Naqiu dan Hardy Miza (musim keempat).
Turut bertanding ialah Noryn Aziz (musim kelima), Datuk Aishah (musim keenam), Cliff Umar (musim ketujuh), Aliff Aziz (musim kelapan) dan Jaclyn Victor (musim kesembilan).
Selain itu, lima peserta ‘hot seat’ yang terdiri daripada pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat juga akan bertanding. Penyertaan lima peserta ini akan dipilih berdasarkan undian orang ramai.
All Stars Gegar Vaganza masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus daripada barisan juri profesional.
Barisan juri tetap terdiri daripada maestro muzik, Datuk Ramli MS; penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.
Konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza akan mula bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 12 minggu setiap Ahad, jam 9 malam bermula 24 September ini menerusi saluran Astro Ria.
Juara All Stars Gegar Vaganza akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 serta hadiah sampingan. (Sumber Harian Metro Online)