Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia maut dalam tahanan imigresen Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia di negara berkenaan.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agong MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa yang berusia 28 tahun itu meninggal dunia kelmarin di Pusat Imigresen Tachileik di Myanmar.
“Mangsa berasal dari Kuantan, Pahang sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak.
“Sebelum ini mangsa menghubungi MHO dan meminta bantuan untuk diselamatkan. Selepas aduan diterima, wakil MHO di Myanmar membantu dan menyelamatkan mangsa di tempat dia ditahan.
“Dia kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen Myanmar untuk urusan dokumentasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, malangnya MHO menerima maklumat mangsa yang diselamatkan itu sudah meninggal dunia.
“Punca kematian tidak diketahui secara rasmi. Tetapi dimaklumkan kerana serangan jantung.
“Pihak MHO merujuk kepada keluarga mangsa dan mereka memaklumkan mangsa tidak ada rekod sakit jantung,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)