fbpx

Jepun sambut tahun baru 2024 dengan gempa bumi, tsunami

TOKYO — Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan amaran tsunami dan memerintahkan orang awam berpindah ke tempat selamat berikutan siri gempa bumi pada hari ini yang sehingga kini telah menyebabkan kebakaran manakala sebahagian mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan di pantai barat negara matahari terbit itu.

Agensi Meteorologi Jepun melaporkan lebih daripada berbelas gempa bumi susulan direkodkan berlaku pada hari pertama tahun baru 2024 setelah pantai Ishikawa dan prefektur berdekatan digegarkan dengan gempa pada magnitud 7.6 pada kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan.

Agensi tersebut mengeluarkan amaran tsunami besar di kawasan Ishikawa manakala amaran tsunami atau nasihat tahap rendah untuk bahagian pantai barat Pulau Honshu. Pulau utara paling utara, Hokkaido turut diminta berwaspada.

Seorang pegawai polis melakukan pemeriksaan visual kedadaan pantai susulan gempa.

Stesen penyiaran awam Jepun NHK TV memberi amaran bahawa ombak boleh mencapai setinggi 5 meter (16.5 kaki). Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan untuk melarikan diri ke tanah tinggi atau ke puncak bangunan berdekatan secepat mungkin. NHK berkata, gelombang tsunami boleh kembali, dan amaran akan terus disiarkan berjam-jam selepas amaran awal. Beberapa gempa susulan juga terus menggegarkan kawasan itu.

Jurucakap kerajaan, Yoshimasa Hayashi berkata, sangat penting bagi orang di kawasan pesisir untuk menghindari ancaman tsunami yang mungkin boleh terjadi pada bila-bila masa.

“Setiap minit sangat penting. Sila berpindah ke kawasan selamat segera,” katanya.

Orang ramai kelaur dari bangunan yang rosak akibat gempa.

Tsunami kira-kira 3 meter (kira-kira 10 kaki) tinggi dijangka akan melanda Niigata dan prefektur lain di pantai barat Jepun, dan gelombang telah disahkan sampai ke bahagian pantai.

Sekurang-kurangnya enam rumah rosak akibat gempa, dengan orang terperangkap di dalamnya. Kebakaran telah berlaku di bandar Wajima, Prefektur Ishikawa, dan elektrik terputus untuk lebih daripada 30,000 isi rumah, kata Hayashi.

Beliau berkata, tiada laporan kematian atau kecederaan telah disahkan, bagaimanapun keadaan masih tidak jelas. Tentera Jepun turut serta dalam usaha penyelamatan.

Rekaman media Jepun menunjukkan orang ramai bertempiaran lari di jalanan di sebalik asap merah berkepul-kepul keluar dari kebakaran di kawasan perumahan. Sejumlah foto menunjukkan sekumpulan orang, termasuk seorang wanita mengendong bayi di belakangnya, berdiri di sebelah retakan besar yang telah merobek jalan raya.

Perkhidmatan kereta api peluru di kawasan itu turut dihentikan buat sementara waktu. Bahagian lebuh raya juga ditutup kerana digenangi air daripada paip pecah, demikian menurut NHK. Beberapa perkhidmatan selular telefon bimbit di rantau itu juga tidak berfungsi.

Seorang jurucakap kerajaan memberi taklimat kedudukan gegeran paling kuat yang direkodkan.

Agensi Meteorologi dalam sidang berita yang disiarkan secara nasional berkata, lebih banyak gempa besar boleh melanda kawasan itu serhingga minggu depan, terutama dalam dua atau tiga hari akan datang.

Gempa susulan yang kuat dibimbangi membawa risiko tanah runtuh dan meratakan kawasan peruumahan, menurut agensi.

Seorang pekerja di kedai serbaneka di Prefektur Ishikawa, Takashi Wakabayash berkata, beberapa barang telah tercampak dari rak, tetapi masalah terbesar ialah orang ramai berbondong-bondong muncul untuk membeli kesemua bekalan air botol, bebola nasi dan roti dalam sekelip mata.

Rumah tradisi penduduk yang dibuat daripada kayu mengalami kerosakan teruk.

“Kami melayani pelanggan pada tiga kali tahap biasa. Semua bahan asas, habis,” katanya.

Amaran tsunami juga dikeluarkan untuk bahagian-bahagian Korea Utara dan Rusia. Pegawai Rusia mengeluarkan amaran tsunami untuk pulau Sakhalin, memberi amaran bahawa kawasan di sepanjang pantai barat pulau itu boleh terjejas oleh gelombang.

Di Korea Selatan berdekatan, agensi cuaca mendesak penduduk di beberapa bandar pantai timur untuk mengawasi perubahan tahap laut yang mungkin. Gelombang tsunami yang datang kemudian boleh lebih besar daripada yang awal.

Kerajaan Jepun telah menubuhkan pusat kecemasan khas untuk mengumpul maklumat mengenai gempa bumi dan tsunami serta menyampaikannya dengan cepat kepada penduduk untuk memastikan keselamatan, kata Perdana Menteri Fumio Kishida dalam satu sidang akhbar.

Beliau mengulangi permintaan agar orang ramai yang terjejas segera ke kawasan perlindungan yang ditelah digazetkan kerajaan.

Jepun adalah negara yang sangat terdedah gempa bumi. Pada bulan Mac 2011, gempa bumi besar dan tsunami menyebabkan kebocoran di loji nuklear. Jurucakap kerajaan Hayashi memberitahu wartawan bahawa loji nuklear di kawasan yang terjejas bagaimanapun tidak melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan pada Isnin. – Agensi

faizal
Faizal Zakaria pernah berkhidmat dengan akhbar Kosmo! selama 14 tahun sebelum membawa haluan sendiri melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2018. Jawatan terakhir beliau ketika itu ialah Editor Prosesan. Sepanjang berkhidmat dengan akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu, Faizal pernah ditugaskan di Meja Laporan Khas, Meja Ekonomi, Meja Luar Negara, Meja Rencana Ahad dan terakhir, Editor Prosesan. Selain pernah memenangi hadiah tertinggi kewartawanan, Hadiah Kajai pada 2004, Faizal dari semasa ke semasa menyampaikan syarahan di beberapa universiti tempatan dan luar negara, serta menjadi jurulatih korporat dalam bidang penulisan media.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles