fbpx

Mulai Februari lesen memandu, cukai jalan boleh perbaharui aplikasi myJPJ

SHAH ALAM: Orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM), menerusi aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pertambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital selain menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter-kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara)

“Untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) ketika pembaharuan akan menikmati rebat sebanyak RM5, yang mana rebat ini akan dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula 1 Februari sehingga 31 Disember,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan ke JPJ Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan terpakai untuk mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan sama ada melalui kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ (Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pertambahan fungsi baharu berkenaan akan memudahkan orang awam untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital

Katanya, inisiatif itu hanya untuk warga tempatan sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas, permit jangka masa panjang, Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS) serta Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR).

Dalam pada itu, Anthony berkata, berdasarkan dapatan kajian dan analisa statistik sepanjang 2023, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat dengan 7.5 juta pengguna.

Bagaimanapun, bagi pemandu dan pemilik kenderaan yang masih belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan tahun 2024, mereka masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.

“Bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim, JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dalam bentuk kertas keselamatan.

“Ia akan terus dilaksanakan selepas stok LKM dan LMM fizikal yang lama di cawangan-cawangan atau kiosk JPJ habis.

“LKM yang baharu ini tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan seperti keperluan mengikut Seksyen 20(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam.

“Kerajaan berharap inisiatif yang diumumkan pada hari ini adalah usaha MOT dan JPJ untuk mempermudahkan urusan pemilik LKM dan LMM seterusnya menyokong ke arah perkhidmatan pendigitalan yang terbaik kepada rakyat,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles