KUALA LUMPUR: Selangor terus rancak merekrut pemain baharu bagi menghadapi musim 2024/2025 apabila mengikat pemain berdarah kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine.
Pemain tengah kebangsaan itu menyertai Gergasi Merah secara pinjaman selama setahun dengan pilihan untuk dibeli secara tetap.
Nooa Laine menjelaskan faktor dia memilih Selangor kerana tertarik dengan hala tuju kelab itu sambil memaklumkan pengurusan Gergasi Merah sudah lama menghubunginya selain menjelaskan peranan serta kepentingan khidmatnya buat pasukan.
“Saya juga banyak mendengar perkara positif berkenaan budaya dan hala tuju kelab dari rakan sepasukan skuad kebangsaan Malaysia. Sejujurnya, saya gembira dengan keputusan ini kerana yakin Selangor FC akan menjadi kelab yang membantu saya mencapai kejayaan.
“Antara kelebihan yang saya miliki adalah mampu mengimbangi perlawanan di bahagian tengah padang, saya juga boleh menjaringkan gol dari pelbagai sudut dan boleh bermain di pelbagai posisi untuk membantu pasukan musim ini.
“Bagi saya, bermain di bawah jagaan Tan Cheng Hoe bermaksud saya akan belajar banyak perkara untuk mengembangkan lagi bakat sebagai seorang pemain dan ia juga akan membantu pasukan di masa akan datang, kerana saya yakin dia seorang jurulatih yang hebat,” kata Nooa.
Perjalanan Nooa dalam kancah bola sepak profesional bermula di divisyen kedua Liga Finland bersama kelab tempat kelahirannya, Jyvaskylan Jalkapalloklubi pada 2018 dengan dia berjaya membuat 15 penampilan dan menjaringkan satu gol dalam tahun pertama karier profesionalnya.
Pemain berusia 21 tahun itu kemudian bersama pasukan pembangunan HJK Helsinki, Klubi 04 pada musim 2019 dan 2020 yang menyaksikan dia menambah 26 penampilan serta lima gol dalam rekod peribadinya untuk dua musim bersama kelab itu.
Musim seterusnya Nooa diserap naik ke pasukan utama Seinajoen Jalkapallokerho atau lebih dikenali sebagai SJK Seinajoki selepas beraksi dalam 16 perlawanan bersama skuad pembangunan kelab itu.
Kariernya terus meningkat naik selepas mendapat peluang beraksi sebanyak 64 perlawanan dengan empat jaringan gol bersama SJK Seinajoki dalam divisyen 1 Liga Finland selama tiga musim dari 2021 sehingga 2023.
Pada tahun 2022, dia menerima panggilan kebangsaan dan membantu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara layak ke Piala Asia B-23 di Qatar.
Aksi cemerlangnya bersama skuad B-23 menambat hati ketua jurulatih skuad senior negara, Kim Pan Gon dan dia akhirnya membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya semasa perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac tahun lalu. (Sumber Berita Harian Online)