fbpx

Kucing jadi tumpuan persandingan raja sehari

KOTA BHARU: Kehadiran tiga kucing yang dipakaikan gaun dan seumpama pengantin menjadi tumpuan dalam majlis persandingan sepasang pengantin di sini.

Tiga kucing baka tempatan, parsi dan domestik yang dinamakan Louissa, Pocci dan Snowy itu menjadi pengiring Wan Mohd Nasoha Wan Mohd Zain, 39 dan isterinya, Nor Shahibah Yusoff, 23, di sebuah dewan di Guchil Bayam di sini sebaik raja sehari itu turun daripada trak pikap yang mengiringi mereka.

Dengan busana songket, gaun kembang dan sedikit aksesori, ketiga-tiga kucing itu didukung oleh pemilik masing-masing berjalan mengiringi mempelai menuju ke pelamin.

Wan Mohd Nasoha berkata, video mengenai tiga kucing yang menjadi pengiring mereka pada hari persandingan pada Sabtu lalu menjadi tular selepas dimuat naik sepupunya di media sosial.

“Niat saya tampilkan semua kucing itu untuk menyerikan majlis persandingan sebagai simbolik kepada kisah pertemuan saya dan isteri yang bermula kerana kucing.

“Saya menjalankan khidmat ‘grooming’ kucing dan rakan saya yang juga abang kepada isteri kerap menghantar kucingnya untuk dijaga dan daripada hubungan yang baik itu menyebabkan saya turut mengenali isteri.

“Kami berkawan kira-kira setahun sebelum mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu dan saya cadangkan untuk tampilkan empat kucing berfesyen pada hari persandingan Sabtu lalu tapi seekor daripadanya ada halangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Louisa, Pocci dan Snowy menjadi pengiring dalam majlis persandingan yang berlangsung di sebuah dewan di Guchil Bayam, Kelantan baru-baru ini (Sumber Gambar – Berita Harian Online)

Wan Mohd Nasoha yang turut menjalankan perusahaan dobi berkata, walaupun hari istimewa itu milik mereka tapi Louissa, Pocci dan Snowy yang lebih menjadi tumpuan dan ramai tetamu yang datang merakamkan gambar bersama tiga haiwan itu.

Katanya, ketiga-tiga kucing itu milik dua rakan mereka juga ahli kelab kucing dan sebaik disuarakan hasrat untuk menampilkan kucing sebagai pengiring dia dan isteri, rakannya itu terus bersetuju.

“Louissa, Pocci dan Snowy setia menunggu kami berdua di dewan walaupun sedikit lewat masa ditetapkan dan mereka bertiga sangat baik kerana sudah biasa berada dalam khalayak ramai disebabkan sering menyertai pertandingan,” katanya.

Pemilik Snowy dan Pocci, Roselawati Ibrahim Afandi, 61, berkata, dia diminta oleh Wan Mohd Nasoha membawakan kucingnya sebagai pengiring mempelai sejak dua minggu lalu.

Selain rasa berbesar hati, dia juga tidak menyangka Wan Mohd Nasoha sudah dikenalinya sejak beberapa tahun lalu memberi kepercayaan untuk kucingnya memeriahkan majlis persandingan.

“Sempat saya menyediakan pakaian Snowy manakala Pocci dipakaikan baju sedia ada tapi saya hiaskan sedikit lagi dengan renda malah saya juga mengenakan rambut palsu kepadanya,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles