fbpx

24 anak yatim, 62 golongan asnaf, ceria diraikan kariah Masjid Al-Wataniah

MANJUNG –  Aidilfitri yang menjelang tiba memberi sinar harapan baharu kepada 24 orang anak yatim dan 62 golongan asnaf dari sekitar Pasir  Panjang Laut, Seri Manjung dekat sini.

Kalangan yang kurang bernasib baik itu menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang diusahakan oleh kariah Masjid Al-Wataniah, Pasir Panjang Laut.

Sumbangan berupa wang tunai RM460 setiap seorang bagi anak yatim dan bekalan beras serta wang tunai RM300 pula bagi setiap asnaf.

Pengerusi Masjid Al-Wataniah,  Zulkefli Abu Bakar memberitahu, sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf itu antara lain bagi membela nasib golongan terbabit.

Jelas beliau, pihak masjid pada awalnya tidak menyangka akan mendapat jumlah kutipan yang banyak, namun atas semangat Ramadan, para kariah telah bersatu hati untuk membantu membuat kutipan.

“Pihak masjid berpuas hati dapat membantu anak-anak yatim dan golongan asnaf ini.

“Harapan kami, sumbangan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan bebanan mereka termasuk persekolahan bagi anak-anak yatim, malah mereka juga dapat menyambut Aidilfitri seperti kalangan yang lebih bernasib baik,” katanya pada Majlis Ihya Ramadan Masjid Al-Wataniah di sini.

Majlis sumbangan itu diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail dan Setiausaha Sulit Khas kepada Menteri  Pengajian Tinggi, Datuk Azri Jaafar.

Kalangan anak-anak yatim yang menerima sumbangan itu terdiri daripada 11 perempuan dan 13 lelaki manakala golongan asnaf pula 19 wanita dan 43 lelaki.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 22 orang berjaya mengkhatam Al-Quran secara beramai-ramai.

Zulkefli memberitahu, program yang melibatkan anak yatim, asnaf dan khatam Al-Quran itu antara lain bagi mengeratkan lagi kerjasama dan perpaduan dalam kalangan kariah tanpa mengira fahaman politik.

“Masjid Al-Wataniah juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam negeri dan juga pihak berkuasa tempatan.

“Banyak lagi program yang kita adakan termasuk gotong-royong, ziarah penduduk selain kuliah-kuliah agama,” katanya.

Di samping itu, kata Zulkefli, sebanyak 150 bungkus bubur lambuk diagihkan secara percuma setiap hari sejak bermula Ramadan hingga hari akhir Ramadan.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles