fbpx

Pasangan suami isteri Murut pilih Islam untuk sehidup semati

KENINGAU – “Sekian lama kami tercari-cari mengenai pengertian hidup ini.

“Akhirnya kami setuju untuk bersyahadah bersama dan peluk Islam kerana yakin bahawa agama Islam dapat menjamin kehidupan kami, dunia dan akhirat.

“Biarlah kami sehidup dan semati sebagai orang Islam,” kata Samaan Antawor, 59, yang bekerja sebagai petani.

Menurutnya, dia dan isteri tertarik dengan Islam kerana mendapati Islam sentiasa mengutamakan kasih sayang keluarga termasuk menghormati ibu bapa.

“Banyak lagi ajaran Islam yang menjadi daya tarikan dan membuatkan kami yakin untuk bersyahadah,” katanya.

Sementara isterinya, Sofia Anggang, 40, turut melahirkan rasa gembira dan teruja apabila dapat bersyahadah bersama suaminya.

“Memang sudah lama kami berhasrat untuk peluk Islam. Akhirnya cita-cita ini tercapai juga.

“Saya dan suami tidak mendapat sebarang halangan dari ahli-ahli keluarga terdekat,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.

Sofia yang masih mempunyai ibu dan bapa berkata, dia juga berhasrat untuk sentiasa menjaga kebajikan orang tuanya.

Pasangan suami isteri berkenaan yang mempunyai seorang anak perempuan berusia satu tahun enam bulan, bersyahadah di bawah program yang diatur oleh Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).

Mereka mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Setiausaha Media dan Komunikasi IKUT, Amir Sarifudin.

IKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu golongan mualaf dari segi kebajikan, pendidikan dan sebagainya.

Sementara itu, Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim yang turut hadir dalam program berkenaan berkata, sebelum bersyahadah, pasangan suami isteri itu diingatkan mengenai tanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.

“Mereka diingatkan bahawa hubungan dengan ibu bapa tidak pernah terputus. Malah, sebagai anak, mereka mempunyai tanggungjawab menjaga kebajikan  dan hati ibu bapa mereka walaupun orang tua mereka tidak Islam,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles