PUTRAJAYA – Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah menganjurkan program Capacity Building Workshop 2.0 yang berlangsung di sebuah hotel di sini.
Program bermula 26 hingga 29 Disember itu disertai lebih 80 peserta termasuk dari Arab Saudi, Amerika Syarikat dan beberapa negara luar.
Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Global Deaf Muslim (GDMF), Nashiru Abdulai; Ketua Pegawai Eksekutif Liajlehum Association of Disability, Putera Faisal Abdulrahman Nasser Farhan Al Saud dan Pengarah Program Capacity Building, Mohamad Sazali Shaari merangkap Setiausaha GDMF.
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd. Shukor Sabudin ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, program bertaraf dunia itu amat bermakna bagi komuniti orang pekak sama ada dari Malaysia mahupun dari negara-negara lain.
Menurut beliau, ia secara langsung menyaksikan usaha dan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkasakan komuniti pekak ke arah pembangunan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Jelasnya, program tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada peningkatkan kemahiran individu, juga memastikan setiap lapisan masyarakat diberi peluang yang adil dan sama rata.
”Program ini membuktikan bahawa komuniti pekak adalah sebahagian daripada kekuatan kita sebagai sebuah negara.
”Melalui program ini, kita berharap dapat, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran komuniti pekak, memperkasa kepemimpinan dalam kalangan komuniti pekak dan menyediakan platform interaksi dan kolaborasi antara komuniti pekak dengan masyarakat umum,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif seperti ini penting untuk memastikan komuniti pekak tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan global.
”Kita percaya bahawa setiap insan mempunyai potensi yang besar jika diberi ruang dan peluang untuk berkembang.
”Dalam konteks agama, Islam sendiri menekankan kepentingan inklusiviti dan pembangunan insan tanpa mengira kekurangan atau kelebihan seseorang.
”Justeru, komuniti pekak adalah sebahagian daripada kekuatan kita. Sebagai pemimpin dan masyarakat, kita bertanggungjawab untuk memastikan setiap golongan diberi perhatian dan peluang yang sama, termasuklah dalam bidang pendidikan, pekerjaan, dan pembangunan kapasiti,” katanya.
Beliau yakin dan berharap, program tersebut bukan sahaja akan membuka pintu baharu kepada komuniti pekak tetapi juga melahirkan individu yang lebih berdikari, berwawasan, dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta negara.