PUCHONG – Ceria dan menghiburkan. Itulah yang dapat digambarkan sepenuhnya pada majlis Sukaneka Kanak-kanak Pekak Taska & Tadika Istika Jaya di sini.
Dengan pelbagai ragam sepanjang sukaneka tahunan yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini, ia bukan sahaja menghiburkan hadirin terutama kalangan ibu bapa, malah menceriakan setiap tetamu.

Lebih 10 acara diadakan pada sukaneka berkenaan yang menyaksikan penglibatan bersungguh-sungguh kanak-kanak tersebut apabila mereka diibahagikan kepada dua kumpulan iaitu rumah biru dan rumah merah.
Yang pasti, setiap kanak-kanak pekak terbabit termasuk pelajar-pelajar pekak transit, terlibat dalam acara-acara yang diadakan.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Patmanathan a/l R. Nalasamy dan turut dihadiri Timbalan Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Aqlam Jafri dan Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Sha’ari.

Hadir sama wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Lebih menarik pada majlis berkenaan apabila kalangan ibu bapa yang hadir turut menyertai acara sukaneka untuk mereka.

Pembabitan ibu bapa dalam sukaneka berkenaan secara langsung membuktikan sikap prihatin selain memantapkan hubungan kekeluargaan.
Sementara itu, Patmanathan dalam ucapannya memberitahu, penganjuran sukaneka itu bukan sahaja dapat membentuk keyakinan diri kanak-kanak pekak, malah memberi pendedahan kepada pembentukan diri.
“Sukaneka seperti ini memberi pendedahan inklusif kecemerlangan dalam membentuk keyakinan dalam diri kanak-kanak.
“Ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak pekak dalam membentuk kebolehan diri bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
