GARA-GARA merogol kambing betina sehingga mati, seorang duda dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shaari Hasan, 60, selepas warga emas itu menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor hari ini.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas keluar dari penjara, selain mendapatkan khidmat kaunseling.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Nurul Mardhiah menyoal punca kematian kambing berkenaan sebelum Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Noor Harun menyatakan bahawa kematian kambing itu adalah disebabkan kegagalan paru-paru.
Dalam prosiding itu, tertuduh juga mengesahkan barang kes termasuk gambar kambing, pakaian miliknya yang dirampas semasa kejadian iaitu sehelai baju-T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat, yang ditunjukkan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.
Menurut fakta kes, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan luar tabii itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang pada 1.33 tengah petang, 27 Julai lalu. Dia dituduh mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dari tarikh tangkap, dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya selain hukuman berpatutan terhadap tertuduh.
“Tertuduh merupakan warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu (sebat) tidak dikenakan berikutan tertuduh merupakan seorang warga emas,” kata peguam itu.
Sementara itu, Khairunnisa memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Dalam kejadian Julai lalu, seorang wanita berusia 45 tahun yang merupakan pemilik kambing betina itu terdengar bunyi mengembek dari kandang yang terletak di belakang rumahnya.
Wanita berkenaan yang pergi ke kandang kambing itu mendapati, tertuduh berada dalam keadaan separuh bogel sebelum tertuduh bangun setelah menyedari kehadiran wanita terbabit. Suspek kemudian melarikan diri bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati, kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu mati.