MELAKA – Seorang bapa menjadikan dua anak kandungnya sebagai hamba seks selama tujuh tahun berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 426 tahun dan 240 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 56 tahun yang membuat pengakuan bersalah ke atas 28 pertuduhan membabitkan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai penyelia syarikat pelaburan telah melakukan perbuatan itu di kediamannya di dalam daerah Melaka tengah selepas kedua-dua mangsa mencecah usia 12 tahun.
Tertuduh turut menggunakan alat mainan seks terhadap mangsa.
Perbuatan itu terbongkar selepas isterinya melihat tertuduh merogol anak keduanya dalam sebuah bilik pada 5 September lalu.
Tertuduh yang mempunyai lima anak dikatakan menjadikan kedua-dua mangsa sebagai hamba seks selepas mereka mencecah usia 12 tahun dengan melakukan perbuatan terkutuk itu di ruang rumah termasuk atas sofa, ruang tamu dan juga tangga rumah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon hukuman berat dengan tempoh pengasingan yang lama dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah mengambil kira keadaan kesihatannya yang merosot selain telah insaf dan mendakwa keluarganya sudah memaafkan perbuatannya.
Selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, fakta kes, keterangan impak mangsa serta hujah pendakwaan, Nariman menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama 426 tahun dan 240 sebatan terhadap tertuduh.
Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak dan berperingkat dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 September 2022, sekali gus menjadikan hukuman penjara dijalani selama 45 tahun dan maksimum 24 sebatan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret kerana mengugut untuk membunuh isteri dan anak-anaknya.
Majistret Mazana Sinin mengarahkan hukuman tersebut berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap.