TENOM – Pendakwah terkenal, Ebit Lew tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira pukul 9 pagi untuk menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual dihadapinya bermula hari ini sehingga 30 September.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, berpakaian serba hitam dan berkopiah putih tiba dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser berwarna hitam.
Ebit ditemani peguam serta sekumpulan individu kelihatan tenang dan memberikan senyuman ketika memasuki pintu utama mahkamah.
Petugas media turut kelihatan berada di pekarangan mahkamah seawal 8 pagi.
Pekarangan mahkamah turut dikawal oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan, termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.
Perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit Liew berlangsung empat hari sehingga 30 September ini.
Majistret Nur Asyraf Zolhani sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku salah atas 11 pertuduhan berkenaan.