DI atas kertas, skuad Belgium pada kempen Piala Dunia 2022 di Qatar kali ini memiliki ramuan lengkap untuk bergelar juara namun penyenaraian Romelu Lukaku mencetuskan persoalan.
Lukaku yang turut disenaraikan dalam barisan 26 pemain Belgium kendalian Roberto Martinez mencetuskan tanda tanya berterusan kerana tahap kecergasannya.
Penyerang yang dipinjamkan ke Inter Milan dari Chelsea itu mengalami kecederaan bermula pada awal musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu mengalami masalah hamstring termasuk paha pada awal musim dan ini bermakna, dia hanya diturunkan sebanyak dua kali sejak Ogos untuk saingan Serie A.
Selain itu, selepas mengharungi dua edisi Piala dunia dan dua edisi Kejohanan Euro, Belgium masih gagal mencipta sebarang kejuaraan dengan ramai dalam kalangan pemain mereka kini sudah berusia 30-an.
Justeru, saingan di Qatar nanti boleh dianggap sebagai medan terakhir buat pasukan ‘emas’ ini untuk membuktikan keupayaan sebenar selepas diundi dalam kumpulan F bersama Croatia, Kanada dan Maghribi.
Jika masih gagal, skuad Belgium akan dilihat mengulangi nasib malang pasukan ‘generasi emas’ England era 2000-an yang gagal menjuarai sebarang trofi meskipun memiliki ramai bintang berkelas dunia.
Di atas padang pula, Belgium bakal membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain utama seperti dua bintang Real Madrid, Eden Hazard dan Thibaut Courtois selain mengharapkan sentuhan Romelu Lukaku (Inter Milan) serta Kevin de Bruyne (Man. City).
Pencapaian terbaik mereka adalah berada di tempat ketiga pada kempen 2018 yang lepas dan kali ini mereka kekal dicanang antara pasukan yang berpotensi untuk berada dalam kelompok empat negara terbaik di dunia nanti.