BACHOK – Kita sering mendengar kemalangan membabitkan lembu, namun sebaliknya seorang warga emas di sini patah kaki selepas motosikal ditunggangi terlanggar buaya.
Dalam kejadian di jalan Kampung Kubang Telaga, di sini, pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Rossazali Abdullah,61, mendakwa terlanggar buaya sepanjang lebih dua meter yang sedang melintas jalan.
Rossazli ketika itu dalam perjalanan ari Gunong, Bachok untuk pulang ke rumah di Taman Desa Anda, Pasir Puteh.
“Setibanya di tempat kejadian, saya terkejut melihat seekor buaya atas jalan dan tidak sempat menekan brek.
“Saya terlanggar bahagian tengah badan reptilia itu dan ekornya melibas saya menyebabkan saya dan motosikal terbabas ke dalam kawasan lumpur di tepi jalan itu,” kata pesara kerajaan itu.
Katanya, selepas itu reptilia itu menghilang di dalam semak.
Penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan itu membantunya keluar dari lumpur.
“Penduduk turut membantu membersihkan lumpur pada motosikal, manakala saya dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh,” katanya yang patah kaki kanan.
Dia kini dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.