GERGASI Asia, Jepun mencipta kejutan apabila mengesahkan tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Sepanyol 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Antarabangsa Khalifa pagi tadi.
Jepun mara ke peringkat kalah mati sebagai juara Kumpulan E.
Ia sekali gus menolak Sepanyol jatuh ke tangga kedua dan lebih malang turut menyingkirkan Jerman dari pentas Piala Dunia 2022 biarpun lawan itu menang 4-2 ke atas Costa Rica.
Dua pemain Jepun yang beraksi bersama kelab Jerman iaitu Ritsu Doan dari SC Freiburg dan Ao Tanaka (Fortuna Düsseldorf) muncul wira apabila masing-masing meledak gol pada minit 48 serta 51.
Pasukan kendalian Hajime Moriyasu kini berdepan Croatia pada pusingan 16 terakhir dan Nagatomo percaya mereka boleh mencatat satu lagi kejutan menentang naib juara Piala Dunia 2018 itu.
“Tiada siapa di dunia percaya Jepun boleh muncul juara kumpulan ini, tiada siapa,” kata Nagatomo.
“Tetapi kami percaya dan kami yakin ketika perlawanan hari ini. Kami membuktikan kepada dunia bagaimana rupanya keberanian Jepun.”
Dalam pada itu, igauan ngeri dialami Jerman di Rusia empat tahun lalu kembali berulang apabila mereka gagal mara ke pusingan seterusnya.
Jerman menamatkan aksi Kumpulan E di tempat ketiga.
Meskipun mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Al Bayt pagi tadi, namun ia masih belum cukup untuk memastikan skuad Die Mannschaft layak ke pusingan kalah mati.
Jerman berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi Serge Gnabry yang menanduk masuk hantaran dilakukan David Raum.
Pada minit ke-57, Costa Rica berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Yeltsin Tejeda sebelum menggandakan kedudukan 12 minit kemudian menerusi pemain pertahanan, Juan Pablo Vargas.
Tersentak dengan gol tersebut, Flick kemudiannya melakukan beberapa perubahan taktikal termasuk mengeluarkan Thomas Muller dan Raum dengan memasukkan Kai Havertz dan Mario Gotze.
Keputusan Jerman memasukkan Havertz nyata membawa tuah apabila pemain Chelsea itu meledak dua gol dalam tempoh 10 minit bagi memastikan mereka kembali mendahului perlawanan 3-2.
Seorang lagi pemain gantian, Niclas Fullkrug kemudiannya melengkapkan kemenangan Jerman apabila menjaringkan gol keempat selepas menerima hantaran yang dilakukan pemain sayap, Leroy Sane.