FINAL Ahad ini akan menjadi aksi terakhir Lionel Messi pada pentas Piala Dunia.
Argentina bakal bertemu Perancis atau Maghribi pada final Ahad ini di Qatar.
Messi menerajui kemenangan 3-0 Argentina ke atas Croatia pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
“Saya amat gembira dapat mencapainya, menamatkan perjalanan Piala Dunia saya dengan bermain perlawanan terakhir pada final.
“Lama lagi untuk kejohanan seterusnya dan saya tidak rasa dapat melakukannya. Dan menamatkannya seperti ini, ia adalah yang terbaik,” kata kapten Argentina itu.
Messi, 35, akan meraih kap ke-172 hujung minggu ini dalam misinya memburu gelaran Piala Dunia pertama negaranya selepas tahun 1986.
Messi bermain di Piala Dunia kelimanya, mengatasi rekod empat edisi Diego Maradona dan Javier Mascherano.
Dalam aksi awal pagi tadi, Croatia lebih banyak memegang bola, namun sebaliknya berlaku apabila La Albiceleste terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi sepakan penalti Messi selepas Julian Alvarez dikasari penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic.
Menerusi gol tersebut, Messi melakar sejarah baharu apabila menjadi penjaring terbanyak Argentina dalam saingan Piala Dunia dengan 11 gol, meleburkan rekod 10 gol yang dicatat pemain legenda, Gabriel Batistuta.
Lima minit berselang, serangan balas pantas yang dilakukan Argentina dimanfaatkan sebaiknya oleh Alvarez bagi meletakkan pasukan dari Amerika Selatan itu selesa mendahului 2-0.
Alvarez kemudiannya meledak gol kedua peribadi pada minit ke-69 bagi meletakkan Argentina 3-0 di hadapan selepas dia tenang menyepak masuk hantaran yang dilakukan Messi.
Walaupun Croatia bekerja keras untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol saguhati, namun kekebalan benteng pertahanan Argentina sukar ditembusi dan kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan.