TAWAU – Seorang warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM50,000 di Mahkamah Sesyen hari ini selepas tertuduh mengaku salah tinggal lebih masa di negara ini.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Bakht Rahman, 47, dan turut memerintahkan tertuduh diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tambahan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu diputuskan kerana mahkamah dapati tertuduh melakukan kesalahan serius dan berat apabila tinggal di negara ini lebih sedekad atau bersamaan 14 tahun, 7 bulan dan 12 hari.
“Hukuman ini adalah sebagai mesej jelas bahawa tiada sesiapa yang boleh mengatasi atau memperolok-olok Akta dan Peraturan Imigresen di negara ini.
“Jangan ingat kamu (tertuduh) boleh memperolok-olok undang-undang Imigresen negara ini, kerana hukuman keras menanti jika sesiapa sahaja yang berani melanggarnya.
“Kalau datang dengan cara yang betul mesti ikut undang-undang, guna saluran yang sah dan jika berhasrat tinggal lebih lama boleh buat permohonan. Sebaliknya kesalahan kamu ini (tinggal lebih masa) jika sehari dua mungkin boleh dimaafkan, tetapi ini sudah lebih sedekad,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah ditangkap sepasukan anggota Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Tawau, di Jalan Wakuba Gading, pada 27 Disember 2022, kira-kira jam 1 tengah hari.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah tinggal lebih masa di negara ini selama 14 tahun, 7 bulan dan 12 hari dengan menggunakan pasport yang telah tamat tempoh iaitu pada 15 Mei 2008.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Tawau, Pilin Kenrey manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Berita Harian