BEIJING – Hampir 90 peratus penduduk di wilayah Henan, China dijangkiti COVID-19 sekali gus lonjakan kes yang paling teruk setakat ini, kata seorang pegawai tinggi hari ini.
Pengarah Suruhanjaya Kesihatan di wilayah tengah Henan, Kan Quancheng, dalam sidang akhbar memaklumkan, sehingga 6 Januari lalu, kadar jangkitan COVID-19 di wilayah itu adalah 89.0 peratus.
Mengikut rekod semasa, seramai 88.5 juta penduduk di wilayah itu dijangkiti COVID-19.
Untuk rekod, wilayah Henan menempatkan jumlah penduduk ketiga tertinggi di China dengan populasinya setakat ini seramai 99.4 juta orang.
Quancheng berkata, jumlah penduduk yang mendapatkan rawatan demam di klinik memuncak pada 19 Disember dan selepas itu, ia mula menunjukkan trend penurunan.
China bergelut dengan lonjakan kes susulan keputusan pada bulan lalu untuk menarik balik pelbagai sekatan yang dikuatkuasakan selama bertahun-tahun.
Ia termasuk prosedur kuarantin dan ujian saringan secara besar-besaran yang telah menjejaskan ekonominya dan mencetuskan protes yang jarang berlaku sebelum ini di seluruh negara.
Beijing bagaimanapun tekad meneruskan pembukaan semula negara itu semalam dengan menarik balik kuarantin wajib untuk semua ketibaan antarabangsa dan membuka sempadannya dengan wilayah selatan separuh autonomi, Hong Kong.
Bagaimanapun, jangkitan dijangka meningkat ketika negara itu menyambut Tahun Baru Lunar pada penghujung bulan ini dengan berjuta-juta penduduk dijangka mengembara dari bandar besar untuk melawat saudara-mara terutama warga emas yang lebih berisiko di luar bandar.
Menurut media kerajaan, dalam gelombang pertama sebelum musim percutian, data rasmi Sabtu lalu menunjukkan 34.7 juta orang melakukan perjalanan dalam negara, ia meningkat lebih satu pertiga berbanding tahun lalu.
Data rasmi menunjukkan pada minggu lalu, hanya 120,000 orang yang dijangkiti COVID-19 dan 30 individu meninggal dunia sejak China melonggarkan sekatan bagi memerangi wabak itu, awal Disember lalu. – AFP