ALOR SETAR – Seorang pengerusi sebuah koperasi di negeri ini ditahan semalam berhubung kes tuntutan palsu bernilai RM20.3 juta.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suspek berusia 58 tahun itu ketika hadir untuk diambil keterangan di pejabat SPRM Kedah, 3 petang semalam.
“Pengerusi koperasi itu ditahan bagi memberi penjelasan mengenai tuntutan palsu bagi insentif kerajaan untuk projek kluster lembu tenusu,” lapor BH Online.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan pihaknya.
Difahamkan, beberapa individu penting lagi bakal ditahan SPRM dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, suspek yang diiringi pegawai SPRM dilihat tiba ke Kompleks Mahkamah Alor Setar, di sini pada jam 8.50 pagi tadi, bagi mendapatkan perintah reman.
Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap suspek.
Rabu lalu, dua suspek turut ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berkenaan.
Suspek pertama iaitu pengarah syarikat berusia 51 tahun, ditahan selepas hadir di pejabat SPRM Kedah pada Selasa lalu, manakala suspek kedua berusia 52 tahun, ditahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di Simpang Renggam, Johor.
Difahamkan, tuntutan itu dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi bayaran insentif Projek Penternakan Lembu Tenusu di bawah Kluster Tenusu Entry Point Project 13 (EPP 13) Economy Transformation Plan (ETP), namun tiada bekalan didapati dibuat.