PESHAWAR – Polis berjaya menahan beberapa suspek dipercayai berkaitan kes pengebom bunuh diri yang mengorbankan lebih 100 orang di sebuah masjid di Pakistan semalam.
“Kami sudah menemui beberapa petunjuk dan pasukan kami membuat beberapa tangkapan besar.
“Kami tidak boleh menolak dakwaan ada bantuan dalaman tetapi memandangkan siasatan masih dijalankan, saya tidak akan berkongsi butiran lanjut,” kata Ketua Polis Peshawar, Ijaz Khan kepada Reuters.
Polis menyiasat kemungkinan bantuan orang dalam yang membolehkan pengebom mengelak pemeriksaan keselamatan.
Tragedi di Peshawar itu adalah pengeboman paling meragut paling banyak nyawa dalam tempoh sedekad ini, berlaku di sebuah bandar bergolak di barat laut berhampiran sempadan Afghanistan.
Pengeboman itu berlaku Isnin lalu ketika ratusan jemaah berkumpul untuk solat zuhur di sebuah masjid yang dibina untuk anggota polis dan keluarga mereka yang tinggal di kawasan bertembok tinggi.
Lokasi kejadian itu adalah sebuah kem keselamatan era kolonial serba lengkap di pusat bandar yang juga rumah kepada anggota polis berpangkat rendah dan pertengahan serta keluarga mereka.
Sementara itu, Ketua Polis wilayah Moazzam, Jah Ansari, maklumkan mayat penyerang sudah ditemui.
“Kami percaya penyerang bukan daripada mana-mana kumpulan tertentu,” katanya.
Kumpulan militan paling aktif di kawasan itu, Taliban Pakistan, yang juga dipanggil Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), menafikan pihaknya bertanggungjawab atas serangan itu, yang mana setakat ini tiada kumpulan mengaku melakukannya.
Letupan itu merobohkan tingkat atas masjid dan adalah serangan meragut paling banyak nyawa di Peshawar sejak pengeboman bunuh diri di Gereja All Saints pada September 2013, yang kekal sebagai serangan paling maut ke atas minoriti Kristian di negara itu.
Peshawar terletak di pinggir tanah suku Pashtun, wilayah yang dilanda keganasan sejak dua dekad lalu.
TTP ialah sebuah kumpulan yang memayungi bagi puak-puak Islam Sunni dan berpuak-puak menentang kerajaan di Islamabad, yang baru-baru ini meningkatkan serangan terhadap polis. – REUTERS