LONDON: Alejandro Garnacho dan Fred meledak pada lewat permainan ketika Manchester United bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan West Ham 3-1 dan mara ke suku akhir Piala FA awal pagi tadi sementara Tottenham dikejutkan pasukan Liga Kejuaraan, Sheffield United.
Pada pertembungan lain pusingan kelima, pasukan divisyen empat, Grimsby memalukan kelab bergelut Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton 2-1 dan Burnley menewaskan Fleetwood yang bermain 10 orang 1-0.
Manchester United, yang membuat enam pertukaran terhadap pasukan yang memulakan aksi ketika kejayaan final Piala Liga Ahad lalu menentang Newcastle, tampak kurang lancar di depan dekat Old Trafford.
Penjaga gol United, David de Gea menepis cubaan Michail Antonio pada pertengahan babak pertama selain usaha Emerson Palmieri mendapatkan gol.
Pengurus United, Erik ten Hag membawa masuk Casemiro menggantikan Scott McTominay selepas babak pertama namun tuan rumah jelas masih longgar.
Said Benrahma kemudian menghukum mereka pada minit ke-54 dengan meledak mengatasi De Gea ketika pertahanan sudah berhenti apabila merasakan bola sudah keluar.
Gol berkenaan menyebabkan Ten Hag memasukkan penjaring terbanyak, Marcus Rashford tetapi Antonio ada peluang terbaik untuk menggandakan kelebihan West Ham namun dinafikan De Gea.
United akhirnya menyamakan kedudukan apabila sepakan penjuru Bruno Fernandes menyebabkan Nayef Aguerd menanduk masuk ke gawang sendiri.
Penyerang remaja Argentina, Garnacho melencongkan bola seterusnya memberikan kelebihan buat pasukannya pada minit ke-90 diikuti gol pada penghujung aksi oleh Fred.
“Pasukan terbaik tidak pernah hilang rasa percaya,” kata kapten United, Harry Maguire kepada ITV. “Saya tidak katakan kami adalah antara pasukan paling baik ketika ini.
“Banyak yang perlu kami lakukan tetapi kami semakin hampir, kami melangkah ke depan… saya rasa seperti Stretford End memberikan semangat untuk gol.”
Sementara itu Tottenham disingkirkan pada Piala FA oleh pasukan Liga Kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut selepas Iliman Ndiaye meledak buat Sheffield United yang mencatat kemenangan 1-0 di Bramall Lane.
Spurs, yang memulakan Harry Kane di bangku simpanan, melepaskan gol pada minit ke-79 dan tidak dapat kembali. – (Sumber Berita Harian Online)